KUALA LUMPUR 31 Mac – HI Mobility Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM15.22 juta bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2026, berbanding kira-kira RM10.07 juta pada 4QFY25.
Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan kenaikan ketara didorong hasil lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan bas berjadual, dan pembalikan kerugian kemerosotan nilai ke atas belum terima.
Selain itu tambah kumpulan penyedia rumusan pengangkutan awam bersepadu tersebut, pendapatan faedah tambahan daripada penempatan dana jangka pendek turut menyokong pendapatan syarikat berkenaan.
"Bagi 4QFY26, hasil kumpulan meningkat 9.11% kepada RM82.43 juta berbanding RM75.55 juta pada suku sama setahun sebelumnya lalu," jelas HI Mobilty Berhad dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Segmen perkhidmatan bas berjadual kekal sebagai penyumbang utama dengan perolehan sebanyak RM79.63 juta, disokong oleh tahap penumpang yang lebih tinggi dan peningkatan kekerapan rentas sempadan.
Di samping itu, perkhidmatan domestik turut memacu hasil, manakala pemulihan permintaan perjalanan di pasaran Malaysia dan Singapura, dilihat berjaya membantu syarikat pada tiga bulan tersebut.
Secara kumulatif bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (FY26), HI Mobility merekodkan untung bersih sebanyak RM56.47 juta, meningkat daripada hanya RM43.76 juta pada tahun sebelumnya.
"Pendapatan tahunan kumpulan berkenaan pula melonjak kira-kira 13.53% kepada sebanyak RM317.69 juta berbanding RM279.82 juta bagi tempoh yang sama bagi FY25," tambah syarikat tersebut lagi.
Seiring dengan prestasi kewangan yang kukuh, Lembaga Pengarahnya mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Januari 2026.
Dividen ini akan dibayar pada 30 April 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar pada 15 April 2026, dan mengulas mengenai prospek masa depan, HI Mobility menyatakan keyakinan secara positif.
Antaranya integrasi Acacia Motor Services Sdn Bhd dan Handal BCM Sdn Bhd yang diluluskan bakal mengembangkan perniagaan ke peringkat huluan iaitu pembuatan dan pengedaran kenderaan komersial.
"Kumpulan kini mempunyai buku tempahan belum dibil sebanyak RM360 juta bagi perkhidmatan kontrak, yang memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh kewangan akan datang," jelasnya.
Sehubungan itu, Lembaga Pengarah HI Mobility kekal optimis terhadap prospek kumpulan untuk terus memberikan prestasi mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com








