Untung bersih Guan Chong susut 46.9% kepada RM227.9 juta bagi FY25 akibat margin rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Guan Chong susut 46.9% kepada RM227.9 juta bagi FY25 akibat margin rendah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 AprilGuan Chong Berhad mencatatkan keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) yang menyusut sebanyak 46.9% kepada RM227.9 juta.

 

Menurut makluman kumpulan pengeluar produk coklat tersebut kepada Bursa Malaysia, untung berkenaan hampir separuh kurang berbanding RM429.2 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Kemerosotan ini ujarnya, disebabkan terutama oleh margin pengisaran yang lebih rendah berikutan permintaan pasaran yang lemah dan pengurangan jualan, selain isu kos kewangan yang kekal tinggi.

 

"Situasi berkenaan akibat faktor peningkatan pinjaman bagi syarikat ini dapat menyokong pelbagai modal kerja susulan kenaikan harga biji koko dunia dari tahun 2024 hingga 2025," jelas Guan Chong.

 

Bagaimanapun tambahnya, pengeluar bahan koko keempat terbesar dunia itu mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 42.9% mencecah RM14.9 bilion bagi tempoh dikaji, berbanding RM10.4 bilion pada FY24.

 

Pertumbuhan hasil yang teguh ini katanya, didorong oleh faktor harga jualan purata (ASP) untuk bahan koko yang lebih tinggi, sekali gus berjaya mengimbangi kesan daripada volum jualan rendah.

 

Guan Chong_DagangNews

 

Setakat 31 Disember 2025, aset Guan Chong berjumlah RM7.96 bilion, manakala liabiliti menurun ketara kepada RM5.69 bilion hasil daripada pengurangan ketara dalam pinjaman jangka pendek.

 

"Sebagai tanda penghargaan kepada para pemegang saham, kumpulan ini mencadangkan dividen akhir kira-kira 1.5 sen sesaham bagi FY25, melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM41.1 juta," ujarnya.

 

Sementara itu, Pengerusinya, Ang Nyee Nyee dalam kenyataan berkata, kumpulan berjaya mengharungi cabaran industri dan kekal mencatatkan keuntungan meskipun berdepan turun naik harga bahan mentah.

 

Memandang ke hadapan, Guan Chong tetap optimis terhadap pemulihan permintaan bahan koko kerana harga biji koko lebih murah pada masa ini dijangka menggalakkan penggunaan coklat yang berterusan.

 

Kumpulan juga terus memperkukuh agenda strategik dengan memeterai perjanjian untuk memperoleh 25% kepentingan dalam Transcao Côte d’Ivoire, sebuah langkah yang dijangka memperkukuh kedudukan.

 

"Guan Chong berhasrat terus dikenali pelbagai pihak dalam industri sebagai peneraju global dalam rantaian bekalan koko apabila ia selesai pada suku kedua tahun kewangan 2026," tambahnya lagi.

 

Selain itu, ia fokus meningkatkan kapasiti coklat industri melalui kemudahan di Jerman dan United Kingdom bagi memenuhi permintaan pasaran Eropah yang semakin kompetitif. - DagangNews.com