Untung bersih Chin Teck merudum 79% pada suku kedua FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Chin Teck merudum 79% pada suku kedua FY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 April – Chin Teck Plantations Berhad mencatatkan penurunan ketara dalam keuntungan bersih bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2026 yang susut 79.09% kepada RM3.67 juta berbanding RM17.56 juta pada tempoh sama tahun lalu walaupun hasilnya meningkat.

 

Dalam makluman kepada Bursa  Malaysia, syarikat perladangan itu berkata hasil suku kedua ialah sebanyak RM67.37 juta, meningkat 13.37% berbanding RM59.43 juta sebelumnya, disokong oleh peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK).

 

“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, Chin Teck mencatatkan hasil RM155.11 juta, naik 16.99% berbanding RM132.58 juta pada tempoh sama tahun lalu, mencerminkan peningkatan aktiviti pengeluaran dan jualan.

 

“Namun begitu, keuntungan bersih enam bulan tersebut susut 24.67% kepada RM37.75 juta berbanding RM50.11 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan tekanan kos, kerugian pertukaran asing serta prestasi lemah syarikat bersekutu dan usaha sama,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut syarikat, penurunan keuntungan turut dipengaruhi oleh kerugian dalam hasil syarikat bersekutu yang terlibat dalam pembangunan hartanah serta kerugian lebih besar daripada usaha sama perladangan di Indonesia.

 

Selain itu, gangguan operasi di beberapa kawasan ladang di Indonesia akibat ketegangan di kampung sekitar turut menjejaskan aktiviti penuaian, khususnya di wilayah Lampung dan Sumatera Selatan, yang masih belum mencapai kapasiti penuh.

 

Walaupun demikian, pengeluaran buah tandan segar (FFB), minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK) menunjukkan peningkatan, namun kesan harga jualan yang lebih rendah bagi sesetengah komoditi telah menekan margin keuntungan kumpulan.

 

Dari segi kewangan, Chin Teck terus mengekalkan kedudukan kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM1.19 bilion dan tunai serta baki bank melebihi RM583 juta, manakala jumlah liabiliti kekal rendah pada RM58.31 juta.

 

Syarikat turut mengumumkan pembayaran dividen interim pertama sebanyak 8 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 12 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026. Kedua-dua dividen tersebut telah dibayar pada 23 Januari 2026, menjadikan jumlah keseluruhan dividen sebanyak 20 sen sesaham.

 

Bagi prospek masa depan, Chin Teck menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal tidak menentu berikutan ketidaktentuan geopolitik global, namun permintaan biodiesel yang meningkat dijangka memberi sokongan kepada harga komoditi tersebut.- DagangNews.com