Untung bersih CelcomDigi melonjak 120% kepada RM349.59 juta pada 4QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih CelcomDigi melonjak 120% kepada RM349.59 juta pada 4QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – Untung bersih CelcomDigi Bhd melonjak 120% kepada RM349.59 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) berbanding RM158.28 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CelcomDigi berkata peningkatan itu disokong pertumbuhan hasil dan peningkatan keuntungan sebelum cukai.

 

“Jumlah hasil ialah sebanyak RM3.45 bilion pada 4QFY2025, meningkat berbanding RM3.28 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

 

“Keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM450.07 juta daripada RM182.28 juta setahun lalu,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagi tempoh kumulatif FY2025, CelcomDigi mencatatkan hasil sebanyak RM12.96 bilion, meningkat daripada RM12.68 bilion pada FY2024.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan penuh mencecah RM2.1 bilion berbanding RM1.74 bilion pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM1.53 bilion daripada RM1.39 bilion.

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham pula berjumlah RM1.51 bilion berbanding RM1.38 bilion pada FY2024.

 

Pendapatan sesaham asas bagi FY2025 meningkat kepada 12.90 sen daripada 11.74 sen sebelumnya.

 

CelcomDigi turut mengisytiharkan dividen sebanyak 3.60 sen sesaham bagi suku keempat, menjadikan jumlah dividen FY2025 sebanyak 14.70 sen sesaham berbanding 14.30 sen pada FY2024.

 

Prestasi yang lebih baik ini mencerminkan daya tahan operasi kumpulan serta keupayaannya memanfaatkan sinergi dan pengukuhan asas pelanggan dalam persekitaran industri telekomunikasi yang semakin kompetitif.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata keputusan suku keempat dan tahunan Kumpulan mencerminkan kekuatan pelaksanaan dan komitmen untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang unggul. 

 

“Setiap penambahbaikan pada rangkaian, perjalanan digital, produk dan sokongan pelanggan direka untuk mencipta nilai lebih kepada pelanggan. 

 

“Kecekapan operasi yang dicapai tahun ini telah menjadikan organisasi lebih tahan lasak dan memperkukuh keupayaan kami untuk melabur pada aspek yang paling penting bagi pelanggan,” katanya.

 

Bagi FY2026, CelcomDigi menyasarkan pertumbuhan perkhidmatan dan EBIT pada tahap satu digit rendah, dengan intensiti CAPEX dijangka antara 12 hingga 13 peratus, selaras dengan usaha untuk mengekalkan prestasi kukuh dan menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik. - DagangNews.com