KUALA LUMPUR 28 Feb - Untung bersih Bumi Armada Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) naik 91% kepada RM633.99 juta berbanding RM332.05 juta pada tahun sebelumnya.
Ini disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Armada Olombendo dan Armada Kraken.
Hasil kumpulan meningkat kepada RM2.29 bilion berbanding RM2.13 bilion didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada semua segmen.
"Pendapatan segmen operasi meningkat disebabkan kenaikan yuran operasi FPSO Armada Olombendo, manakala pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen lain disebabkan penyediaan perkhidmatan kejuruteraan kepada kapal FPSO milik bersama kumpulan itu," kata dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), Bumi Armada berjaya mencatatkan kerugian bersih lebih kecil kepada RM83.83 juta berbanding RM165.48 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan itu menyusut kepada RM532.96 juta berbanding RM622.98 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, kapal mereka menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2024 dari sudut keselamatan dan operasi yang membolehkan kumpulan meningkatkan keputusan kewangannya dengan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, pihaknya berbesar hati mengumumkan lanjutan kontrak selama dua tahun untuk Armada TGT1 dan juga Kontrak EPCIM untuk Sistem Pemulihan Gas Flare pada Platform Magnus.
"Kemerosotan perakaunan bukan tunai FPSO Armada Kraken telah dijangka dan tidak menjejaskan pertumbuhan berterusan dalam rizab tunai.
"Kedudukan kewangan yang kukuh memberikan fleksibiliti bagi meneruskan aktiviti strategik, pemerolehan aset dan projek baharu pada masa hadapan," katanya.- DagangNews.com








