Untung bersih Aeon Credit melonjak 47.9% atau RM91.81 juta pada suku ketiga 30 Nov 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Aeon Credit melonjak 47.9% atau RM91.81 juta pada suku ketiga 30 Nov 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Dis - Aeon Credit Service (M) Bhd mencatat peningkatan 47.9 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan bersih bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Nov 2025 dan yakin momentum perniagaannya dapat dikekalkan pada suku terakhir tahun kewangan semasa.

 

Dalam ulasan yang mengiringi maklumannya di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata ia kekal mengambil pendekatan perniagaan berhati-hati berikutan dasar perdagangan dan tarif global yang berterusan, ketegangan geopolitik, tekanan inflasi serta ketidaktentuan pasaran kewangan global.

 

“Kumpulan akan terus berwaspada dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan aset berkualiti serta memantau secara rapi risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya,” katanya.

 

Aeon Credit turut memaklumkan, ia akan terus memperkukuh keupayaan teknologi maklumat bagi meningkatkan kecekapan operasi, di samping membangunkan ekosistem berasaskan Kumpulan Syarikat AEON yang beroperasi di Malaysia bagi meluaskan jangkauan pelanggan.

 

Bagi suku tahun dalam kajian, keuntungan bersih Aeon Credit melonjak kepada RM91.81 juta, disokong oleh hasil sebanyak RM622.41 juta, meningkat 10.75 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.

 

Bagi tempoh tahun ke tarikh (YTD), kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM241.59 juta berbanding RM239.64 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.84 bilion daripada RM1.63 bilion.

 

Jumlah transaksi dan volum pembiayaan bagi tempoh kewangan ke tarikh turut meningkat 8 peratus kepada RM6.754 bilion berbanding tempoh sepadan tahun lalu.

 

Dalam pada itu, bahagian kerugian Aeon Credit dalam AEON Bank bagi tempoh kewangan ke tarikh direkodkan pada RM54.04 juta, berbanding RM45.51 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan kos lebih tinggi berkaitan teknologi, kakitangan dan sokongan pemasaran bagi pelancaran perniagaan perbankan.

 

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman pula berada pada 228 peratus setakat 30 Nov 2025, berbanding 231 peratus pada tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com