Unisem dijangka catat pertumbuhan hasil mendatar pada FY25 kesan ketidaktentuan tarif, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unisem dijangka catat pertumbuhan hasil mendatar pada FY25 kesan ketidaktentuan tarif, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Unisem (M) Bhd dijangka mencatatkan pertumbuhan hasil yang mendatar pada FY25 kesan daripada ketegangan geopolitik, ketidaktentuan tarif dan kebimbangan ekonomi global terhadap permintaan semikonduktor.

 

Kenanga Research berkata, pelanggan automotif utamanya di kilang Chengdu mungkin mengalihkan volum pembuatan tambahan ke kilang Ipoh, yang berpotensi meningkatkan kadar penggunaan.

 

"Unjuran itu mencerminkan andaian margin yang dikurangkan, selaras dengan aliran terkini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, hasil syarikat meningkat 10% kepada RM1.6b, didorong sumbangan kukuh daripada segmen automotif dan komunikasi.

 

Untung bersih Unisem pada FY24 susut 26% kepada RM61.7 juta dan berada di bawah jangkaan, menyumbang 66% daripada ramalan dan 81% daripada anggaran konsensus.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi yang lebih lemah itu disebabkan oleh margin yang lebih rendah daripada campuran produk yang tidak menguntungkan dan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Katanya, sektor automotif mendapat manfaat daripada peningkatan volum daripada pelanggan utama, menyumbang 40% kepada hasil Chengdu dan 20% kepada perolehan kumpulan, manakala segmen komunikasi menyaksikan pertumbuhan dalam perniagaan mikrofon mikroelektromekanikal (MEMS).

 

"Kumpulan mencatatkan keuntungan pertukaran mata wang asing yang ketara sebanyak RM6.7 juta pada FY24 berbanding RM1.5 juta pada FY23.

 

"Namun begitu, keuntungan bersih masih menurun sebanyak 26% kepada RM61 juta, mencerminkan tekanan ke atas keuntungan daripada penguncupan margin dan peningkatan kos," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "underperform" dengan Harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham.- DagangNews.com