KUALA LUMPUR 26 Jun - Penyedia sistem perlindungan kebakaran, Unique Fire Holdings Bhd, kini bersedia mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa selepas berpindah dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Saham syarikat itu dibuka pada harga 37.5 sen pada jam 9 pagi ini, sama seperti harga penutup di Pasaran ACE, dengan 46,000 saham didagangkan.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Marcus Liew Kang Leong berkata, syarikat sedang melaksanakan tiga inisiatif utama untuk mengukuhkan perniagaan dan meningkatkan pertumbuhan.
"Tahun lalu, kami bekerjasama dengan syarikat dari China untuk menghasilkan penyembur kebakaran," katanya kepada pemberita sempena majlis pemindahan penyenaraian syarikat itu, seperti laporan Bernama.
Beliau menjelaskan, Unique Fire kini sedang menjalani proses pensijilan Underwriters Laboratories (UL) yang dijangka mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan.
Pensijilan tersebut adalah satu daripada piawaian keselamatan kebakaran paling ketat di dunia.
Selepas mendapat pensijilan berkenaan, syarikat merancang untuk mengeksport produknya ke pasaran utama seperti Asia Barat, Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain.
Kang Leong dalam pada itu berkata, tarif yang dikenakan oleh AS tidak memberi kesan kepada Unique Fire buat masa ini kerana kebanyakan pendapatan syarikat masih datang dari pasaran tempatan.
"Kami jarang mengeksport ke AS. Jika tarif dilaksanakan, ia mungkin akan dikenakan sama rata kepada semua negara pengeksport. Malaysia pula dikenakan kadar tarif sederhana," jelasnya.
Pada masa sama, Unique Fire juga membuka cawangan baharu di Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan.
"Langkah itu bukan saja membantu menaikkan jualan, tetapi turut memudahkan pelanggan mendapatkan produk dan perkhidmatan kami," ujarnya.
Unique Fire mengedarkan sistem dan peralatan keselamatan kebakaran serta aksesori berkaitan, termasuk reka bentuk grafik khas untuk alat pemadam api.
Syarikat kini juga terlibat dalam kerja pemasangan, pengeluaran dan pengedaran sistem keselamatan kebakaran aktif untuk bangunan seperti alat pemadam api, sistem pemadaman, hos kebakaran, gegelung hos, penggera dan alat pengesan kebakaran.
Unique Fire mula disenaraikan di Pasaran ACE pada Ogos 2022 dan sejak itu menunjukkan prestasi kewangan dan operasi yang positif. - DagangNews.com








