UniKL, SEOULTECH tandatangani perjanjian kerjasama akademik dalam bidang teknologi maklumat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UniKL, SEOULTECH tandatangani perjanjian kerjasama akademik dalam bidang teknologi maklumat

Gambar/FB Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Feb - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Nasional Seoul Sains dan Teknologi (SEOULTECH) di Korea, menandatangani perjanjian kerjasama akademik yang akan menyaksikan pertukaran pelajar dan kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi maklumat (IT).

 

Perjanjian itu adalah lanjutan daripada kerjasama sebelum ini merangkumi beberapa program pertukaran pelajar yang memberi kesan positif. 

 

Pada tahun lalu, seramai 20 pelajar dari Institut Teknologi Maklumat Malaysia (UniKL MIIT) menyertai Winter Camp di SEOULTECH, diikuti oleh 25 pelajar lagi pada bulan lalu.

 

Selain itu, UniKL MIIT juga pernah menjadi tuan rumah kepada 14 pelajar dari SEOULTECH dalam Program Edutourism Bahasa Inggeris pada bulan Julai tahun lalu dan 10 pelajar lagi awal tahun ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Azman Senin berkata, perkongsian baharu ini akan memperkukuhkan lagi hubungan antara UniKL dan SEOULTECH.

 

"Kejayaan program pertukaran pelajar SEOULTECH sebelum ini, memainkan peranan penting dalam memperkayakan pengalaman akademik dan menggalakkan pertukaran budaya antara Malaysia dan Korea," katanya dalam satu kenyataan.

 

Profesor Dong Hwan Kim dari SEOULTECH pula berkata, kerjasama berkenaan memberikan pelajar pengalaman akademik yang amat berharga, pertukaran budaya dan peluang untuk pertumbuhan peribadi, sambil menggalakkan persahabatan antarabangsa serta pemahaman silang budaya.

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di kampus utama UniKL baru-baru ini, dihadiri oleh kakitangan fakulti serta tetamu kehormat dari kedua-dua institusi.

 

Perjanjian terbaharu itu, memperkenalkan Program Ijazah Pemindahan 3+2, yang membolehkan pelajar Diploma IT UniKL melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Kejuruteraan di SEOULTECH.

 

Di bawah program tersebut, pelajar akan menamatkan tiga tahun di UniKL MIIT sebelum dipindahkan ke SEOULTECH untuk dua tahun terakhir, yang akan menyaksikan mereka memperoleh ijazah yang diiktiraf di peringkat global.

 

Profesor Azman berkata, kerjasama itu tidak hanya melibatkan pertukaran pelajar, tetapi juga merangkumi penglibatan pensyarah pelawat, seterusnya memperkukuhkan pertukaran akademik, perkongsian pengetahuan dan hubungan institusi yang lebih mendalam.

 

"Perjanjian ini membawa manfaat besar untuk kedua-dua universiti. Bagi UniKL, ia menegaskan komitmennya untuk memberikan pendidikan berkualiti tinggi dengan kos yang efektif, sambil meletakkan dirinya sebagai pemain utama dalam landskap pendidikan global," tambahnya.

 

Bagi SEOULTECH, program itu membolehkan mereka menjadi tuan rumah kepada kumpulan pelajar antarabangsa, yang akan memperkayakan komuniti akademiknya dengan perspektif baharu.

 

Selain itu, program berkenaan bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kepakaran teknikal, pendedahan antarabangsa dan kemahiran berfikir kritis yang penting untuk berjaya dalam ekonomi digital, menyumbang kepada tenaga kerja IT yang kompetitif di peringkat global.

 

Profesor Azman turut menyampaikan penghargaan kepada SEOULTECH atas sokongan berterusannya dalam menyediakan peluang akademik yang berharga untuk pelajar UniKL.

 

"Saya ingin mengulang kembali rasa optimis mengenai masa depan kerjasama ini, yang mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat kepada ramai pelajar pada tahun-tahun akan datang.

 

"Dengan kerjasama yang diperkukuhkan ini, UniKL dan SEOULTECH menegaskan komitmen bersama terhadap kecemerlangan akademik, inovasi dan kerjasama antarabangsa, membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dalam pendidikan IT," ujarnya. - DagangNews.com