Uni Wall raih subkontrak RM89.64 juta bina projek Pavilion Damansara Heights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uni Wall raih subkontrak RM89.64 juta bina projek Pavilion Damansara Heights

Gambar/Uni Wall APS Holdings Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Jun - Uni Wall APS Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, Uni Wall Facade Sdn Bhd, memperoleh subkontrak bernilai RM89.64 juta bagi projek pembangunan bercampur Pavilion Damansara Heights di Jalan Damanlela, Kuala Lumpur.

 

Syarikat itu berkata, subkontrak tersebut melibatkan kerja reka bentuk, pembekalan, pembuatan dan pemasangan dinding luar, aluminium dan kaca bagi tiga menara di projek berkenaan.

 

"Ia dianugerahkan oleh BUCG (M) Sdn Bhd yang juga syarikat pembinaan yang dimiliki bersama oleh Beijing Urban Construction North Group Co Ltd dan Bayu Semangat Sdn Bhd," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Uni Wall memaklumkan, projek itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman syarikat dan pinjaman luar.

 

Syarikat menjangka, subkontrak tersebut akan memberi kesan positif kepada pendapatannya pada masa akan datang. - DagangNews.com