Umedic jangka jualan 3QFY26 meningkat dua digit susulan tempahan botol Hydrox dari Eropah - Phillip Capital  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Umedic jangka jualan 3QFY26 meningkat dua digit susulan tempahan botol Hydrox dari Eropah - Phillip Capital 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Mac - Umedic Group Bhd (UMC) menjangkakan jumlah jualan bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 mencatat pertumbuhan dua digit secara suku ke suku (QoQ), didorong oleh tempahan baharu yang diterima serta peningkatan pengeluaran secara berperingkat, menurut Phillip Capital Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Umedic memperoleh tempahan baharu daripada pelanggan di Eropah bagi pengeluaran botol Hydrox yang dihasilkan menggunakan teknologi Blow-Fill-Seal (BFS), sekali gus dijangka menyokong pertumbuhan jualan syarikat dalam tempoh terdekat.

 

“Sehingga 9 Mac 2026, pihak pengurusan memaklumkan bahawa tempahan tersebut telah berjaya diperoleh susulan peningkatan kapasiti pengeluaran dan penerimaan pasaran terhadap produk keluaran syarikat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Phillip Capital, Umedic kini berada dalam fasa awal peningkatan kapasiti pengeluaran selepas menyiapkan pemasangan kemudahan baharu yang menjadikan kapasiti keseluruhan kumpulan meningkat kepada 12 juta unit setahun.

 

Kadar penggunaan kilang ketika ini sekitar 50%, mencerminkan tempoh awal peningkatan operasi bagi mesin yang baru ditauliahkan.

 

Namun, kadar penggunaan tersebut dijangka meningkat secara beransur-ansur seiring pertambahan penggunaan produk dalam pasaran global.

 

“Ketika ini, segmen pembuatan Umedic mengendalikan dua kilang sedia ada, manakala syarikat turut memperoleh satu lagi tapak pengembangan ketiga di Batu Kawan Industrial Park 3, yang masih menunggu kelulusan pihak berkuasa pembangunan berkaitan.

 

“Dengan susunan pengeluaran baharu ini, pihak pengurusan menjangkakan tempoh masa penghantaran dapat dipendekkan sebanyak 30% hingga 40% kepada kira-kira 1.5 bulan, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan daya saing syarikat,” katanya.

 

Phillip Capital berkata, pengembangan kapasiti tersebut dijangka menyokong trajektori pertumbuhan segmen pembuatan UMC yang didorong oleh permintaan global yang kukuh terhadap produk perubatan.

 

Sehubungan itu, penarafan “BELI” ke atas saham Umedic dikekalkan dengan harga sasaran 12 bulan sebanyak RM0.43, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 17 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2027.

 

Daya tarikan UMC disokong oleh dua faktor utama iaitu trajektori pertumbuhan segmen pembuatan susulan penggandaan kapasiti serta saluran produk baharu yang berpotensi memperluaskan sumber pendapatan syarikat.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama kepada unjuran tersebut termasuk kemungkinan kelembapan permintaan terhadap peralatan perubatan serta potensi gangguan operasi yang boleh menjejaskan pengeluaran syarikat. - DagangNews.com