KUALA LUMPUR 24 Jun - UEM Sunrise Bhd dan Melati Ehsan Holdings Bhd melalui usaha sama Mega Legacy (M) Sdn Bhd (MLSB), secara rasmi telah menyerahkan sebuah bangunan berasingan di The Beat 2.0 kepada Harvey Norman Malaysia.
Dengan keluasan kira-kira 43,000 kaki persegi, kemudahan baharu itu merupakan cawangan pertama Harvey Norman yang beroperasi secara berasingan dan dikuasakan tenaga solar di Malaysia, dan dijadualkan dibuka pada Oktober 2025.
The Beat 2.0 merangkumi sebuah blok runcit dua tingkat yang diterajui oleh Harvey Norman, bersama lapan unit runcit dua tingkat dan satu unit tambahan berasingan.
Ia merupakan susulan kepada kejayaan The Beat, yang mencapai penyewaan penuh pada Disember 2023 dengan penyewa utama Village Grocer serta jenama lain termasuk Starbucks, Yin’s Sourdough, Inside Scoop, Murni Discovery dan Common Space.
Kedua-dua The Beat dan The Beat 2.0 berfungsi sebagai pusat komersial perbandaran Kiara Bay di Kepong, menawarkan pilihan runcit dan tempat makan, ruang acara serta ciri-ciri mesra alam.
Inisiatif kelestarian utama adalah menerusi pemeteraian perjanjian antara MLSB dan BM Green Energy Sdn Bhd untuk pemasangan 1,209 panel solar fotovoltaik serta 1,840 panel solar fotovoltaik bersepadu bangunan (BIPV) di The Beat 2.0, dengan kapasiti gabungan sebanyak 1,890 kWp.
Pemasangan itu dilaksanakan di bawah perjanjian pembelian tenaga lestari tanpa sebarang perbelanjaan modal oleh pemaju.
The Beat telah dilengkapi dengan 1,702 panel solar fotovoltaik atas bumbung yang mampu menjana sehingga 1,004 kWp. Sejak sistem itu mula diaktifkan pada Mac 2025, ia dijangka dapat memenuhi 26% daripada keperluan tenaga blok runcit tersebut dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 80 tan sebulan.
Pengerusi MLSB dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Sr Azmar Talib berkata, penyerahan The Beat 2.0 menandakan langkah penting dalam merealisasikan visi Kiara Bay sebagai sebuah perbandaran yang berhubung, selesa didiami dan lestari.
"Kehadiran Harvey Norman meningkatkan daya tarikan The Beat 2.0 sebagai destinasi kediaman dan gaya hidup, menarik minat penduduk serta pengunjung baharu ke kawasan ini. Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami dalam membina ruang yang bermatlamat dan berfokus kepada komuniti ketika Kiara Bay terus berkembang dan maju," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Harvey Norman Singapura dan Malaysia, Bernice Kwok berkata, terletak di dalam The Beat 2.0, kedai itu mencerminkan komitmen bersama antara mereka dan pemaju untuk mewujudkan ruang runcit yang lebih bertanggungjawab.
"Ia juga selari dengan usaha kami yang lebih luas ke arah kelestarian, daripada mempromosikan peralatan yang menjimatkan tenaga dan air, hinggalah kepada penawaran produk yang diperbuat daripada bahan mesra alam," katanya. - DagangNews.com







