UEM Sunrise sasar rancakkan pertumbuhan baharu melalui aset tanah RM4 bilion - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise sasar rancakkan pertumbuhan baharu melalui aset tanah RM4 bilion - penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 Mei — Usaha UEM Sunrise Berhad mempercepatkan projek menerusi lebih 404 hektar aset tanah bernilai kira-kira RM4 bilion dilihat berpotensi menjadi pemangkin utama pertumbuhan.



Menurut penganalisis, pembangunan Taman Perindustrian Gerbang Nusajaya, di Johor pada suku pertama 2027 turut akan membuka sumber hasil baharu, selaras minat pelaburan industri dan pusat data (DC).


Mereka menilai, walaupun prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 masih sederhana, prospek jangka sederhana semakin positif melalui strategi pembuka nilai aset tanah yang belum dimanfaatkan lagi.


CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'pegang' terhadap UEM Sunrise, tetapi menaikkan harga sasaran (TP) kepada 63 sesaham selepas menyemak naik unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26.


"Langkah pengurusan untuk meningkatkan margin keuntungan, memperkukuh sumbangan usaha sama (JV) dan sasaran menggandakan ROE sehingga tiga kali ganda memberikan petunjuk lebih membina," katanya.


Bagi 1QFY26 jelas firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu mencatat keuntungan teras sebanyak RM21.8 juta, meningkat 9% tahun ke tahun (YoY) walaupun hasil merosot 17% kepada RM347.7 juta.


Prestasi lebih baik itu ujar CGSI, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada syarikat JV dan syarikat bersekutu serta kos pembiayaan yang lebih rendah sekali gus menyokong UEM Sunrise.


Ia menjangkakan keuntungan syarikat kekal berdaya tahan dalam suku-suku akan datang dipacu oleh peningkatan pengiktirafan hasil pembinaan serta pengiktirafan penjualan tanah DC East Ledang.


"Kami turut menyifatkan pelancaran banyak projek utama seperti The Minh dan Aspira Heights sebagai faktor penting dalam kumpulan mencapai sasaran pelancaran FY26 sebanyak RM2.2 bilion," jelasnya.


 

UEM Sunrise_DagangNews2026

 

Prospek Johor Semakin Kukuh

Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'pegang' dan TP 63 sen sesaham, sambil menyemak naik unjuran EPS FY26 selepas mengambil kira panduan pengurusan yang lebih optimis.


Menurut firma itu, keputusan kewangan UEM Sunrise bagi 1QFY26 adalah selaras dengan jangkaan apabila keuntungan teras berjumlah RM21.8 juta mewakili 26% daripada unjuran tahunan mereka.


Walaupun jualan hartanah bagi suku pertama susut 30% kepada RM259 juta, jumlah tersebut masih mewakili 20% daripada sasaran jualan tahunan syarikat pemaju tersebut sebanyak RM1.3 bilion.


"Kumpulan yakin mencapai sasaran menerusi pelancaran projek yang agresif pada separuh kedua tahun ini, selain rancangan penjanaan lebih 404 hektar tanah bernilai RM4 bilion," kata RHB Research.


Usaha berkenaan jelasnya, dijangka mampu membuka nilai tersembunyi aset UEM Sunrise sendiri serta memperkukuhkan kedudukan kewangan jangka panjang, sekali gus memberi pulangan kepada pelaburnya.


Saham syarikat itu yang diniagakan pada nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) sekitar 0.44 kali adalah hampir purata sejarah 10 tahun, dengan kenaikan harga masih terhad dalam jangka pendek.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma bersetuju prospek UEM Sunrise semakin menarik berikutan peningkatan aktiviti pembangunan di Johor, dan potensi penjanaan tanah berbilion-bilion ringgit.


Malah kumpulan itu berpotensi menikmati pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan dan meningkatkan pulangan kepada pemegang saham dalam beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com