KUALA LUMPUR 28 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat positif terhadap kerjasama UEM Sunrise Berhad dan kumpulan hartanah Singapura, GuocoLand Limited bagi membangunkan bersama bank tanah terpilih di Iskandar Puteri, Johor.
Firma penyelidikan itu berkata, melalui perkongsian ini, pemaju hartanah itu dijangka memanfaatkan pangkalan pelanggan dan pengalaman antarabangsa GuocoLand serta pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di rantau itu.
"Kami mengekalkan saranan beli ke atas saham UEM dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1 sesaham," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai oleh UEM dan GuocoLand pada Khamis meliputi pelbagai peluang pembangunan, termasuk projek kediaman, perindustrian dan komersial di seluruh Gerbang Nusajaya dan Puteri Harbour.
Kerjasama itu bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam JS-SEZ dengan meningkatkan infrastruktur dan memupuk ekosistem perniagaan di rantau itu.
ARTIKEL BERKAITAN:UEM Sunrise dan firma Singapura, GuocoLand bekerjasama laksana pembangunan dengan GDV RM45 bilion di Iskandar Puteri
Firma tersebut berkata, struktur perkongsian masih belum diumumkan pada masa ini.
"Perkongsian itu akan membolehkan kedua-dua UEMS dan GUOL memanfaatkan kekuatan satu sama lain.
"UEM mempunyai sumber tanah dan dikenali dalam pasaran hartanah tempatan, manakala GuocoLand mempunyai jenama yang mantap di Singapura.
"Selain itu, GuocoLand juga membawa pengalaman dan rangkaiannya yang luas di Hong Kong dan China," katanya.
Katanya, pembinaan infrastruktur dan kerja tanah untuk taman perindustrian itu akan dimulakan pada 1Q25.
“Kelulusan bagi membangunkan Gerbang Nusajaya dijangka siap pada Jun 2025.
“Sementara itu, UEM tidak menolak kemungkinan melanjutkan kerjasama dengan rakan kongsi sedia ada, termasuk CapitaLand, rakan kongsi usaha sama semasa bagi pembinaan Nusajaya Tech Park," katanya. - DagangNews.com








