U Mobile terima surat kelulusan pelaksanaan 5G kedua dalam 'satu hingga dua minggu' - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

U Mobile terima surat kelulusan pelaksanaan 5G kedua dalam 'satu hingga dua minggu' - Fahmi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb — Surat kelulusan rasmi untuk U Mobile Sdn Bhd dapat memulakan pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara akan dikeluarkan dalam 'satu hingga dua minggu lagi', menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
 

Beliau malahan menambah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji dan meneliti dengan lebih lanjut beberapa lagi 'aspek akhir' sebelum dapat mengeluarkan surat tawaran kerja tersebut.
 

"Dijangka surat ini boleh dikeluarkan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan secara rasmi Pusat Pelanggan Persendirian Perdana OCBC di Bangsar di sini hari ini.
 

Fahmi turut memaklumkan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Februari lepas, telah mengkaji semula status rangkaian 5G pertama di bawah Digital Nasional Berhad (DNB).
 

Begitu juga tambahnya, dengan pelan perniagaan terperinci daripada pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk U Mobile sendiri, telah diserahkan lebih awal kepada pihak MCMC untuk proses penilaian dan penelitian kembali.
 

Pada 1 November lalu, U Mobile telah dipilih oleh MCMC sebagai operator untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua dan sebahagian pelan peralihan negara daripada rangkaian pukal tunggal kepada model rangkaian dwi terkini itu.
 

Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, yang menerajui U Mobile, dilaporkan berkata pada Januari lalu bahawa syarikat itu menyasarkan untuk pengguna dapat menikmati rangkaian baharu tersebut dalam tempoh antara 15 hingga 18 bulan.
 

U Mobile juga ada pemegangan sebanyak 16.3 peratus kepentingannya dalam DNB sendiri di bawah terma perjanjian langganan saham antara pelbagai pengendali jaringan telekomunikasi mudah alih dengan pihak kerajaan.
 

Agensi berkenaan telah ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan infrastruktur 5G pertama Malaysia merentasi kawasan berpenduduk dan luar bandar sebelum prasarana itu disewakan kepada operator rangkaian mudah alih.
 

Awal bulan ini, Fahmi dilaporkan pula berkata bahawa U Mobile dijangka mendapat surat tawaran pelaksanaan dalam bulan ini sementara menunggu peringkat kelulusan pelan perniagaan terperincinya diteliti oleh pihak MCMC.
 

Beliau namun menambah, U Mobile mesti menyelesaikan beberapa kewajipan di bawah Perjanjian Pemegang Saham yang ditandatanganinya dengan syarikat telekomunikasi mudah alih lain den DNB sebelum memulakan perkhidmatan.

 

Proses untuk operator berkenaan dapat memenuhi kewajipan itu ujar beliau, kemungkinan mengambil masa yang agak lama dengan sekurang-kurangnya lima bulan untuk diselesaikan.

 

Sementara itu, mengenai Jendela Fasa 2, Fahmi berkata bahawa pihak kerajaan masih belum lagi mengeluarkan butiran khusus, namun sebuah firma pengurusan projek berkenaan telah dilantik untuk menilai pelaksanaannya.

 

 

Beliau mencadangkan fasa ini kemungkinan beralih daripada bergantung kepada menara telekomunikasi tinggi sedia ada, sebaliknya mengguna pakai penyelesaian yang disesuaikan dengan cabaran geografi setiap kawasan.

 

"Kami akan mencari penyelesaian yang lebih sesuai dengan keperluan setiap kawasan. Jika sesuatu kawasan menghadapi cabaran geografi yang unik, kaedah penyelesaian berbeza mungkin diperlukan," kata Fahmi.

 

Beliau menambah bahawa kerajaan sedang meneroka fleksibiliti yang lebih besar untuk syarikat terlibat dalam pelaksanaan Jendela Fasa 2, dengan belajar daripada pengalaman dilalui ketika fasa pertama sebelum itu.

 

"Dalam Jendela Fasa 1, ada beberapa aspek yang terlalu ringan dan ketat. Maka, kami menerapkan pengajaran masa lalu untuk fasa seterusnya dengan lebih berkesan," katanya sambil menekankan keperluan perancangan rapi dan pembangunan bakat bagi memastikan projek itu berjalan lancar. - DagangNews.com