KUALA LUMPUR 24 Mac - U Mobile melantik pakar industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan internet, Kenneth Chang sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (DCEO), berkuat kuasa 28 Mac 2025.
Chang, yang berumur 52 tahun, merupakan antara pengarah yang terlibat dalam penubuhan U Mobile.
Dengan pengalaman selama 30 tahun, beliau memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju strategik syarikat sejak penubuhannya, selain bertanggungawab ketika syarikat memperoleh lesen 3G.
Dalam jawatan baharunya, beliau akan menyelia fungsi kawal selia, strategi perniagaan, komunikasi dan kelestarian.
"Beliau juga akan menerajui pengurusan pemegang taruh strategik bagi mengemudi persekitaran perniagaan syarikat yang dinamik, di samping terus berkhidmat sebagai Pengarah dalam lembaga U Mobile, jawatan yang dipegangnya sejak 2006," kata U Mobile dalam satu kenyataan.
Chang juga pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif, Audit dan Imbuhan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, syarikat mengalu-alukan pelantikan Chang sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile.
"Beliau telah menjadi tunjang U Mobile sejak penubuhan syarikat dan memainkan peranan kritikal dalam perkembangan serta kemajuan syarikat.
"Pengalaman luas dan kepakaran beliau amat bermakna ketika U Mobile memasuki fasa perkembangan baharu sebagai bakal penyedia rangkaian 5G berlesen," ujarnya.
Chang juga merupakan Pengasas dan Pengarah Eksekutif syarikat penyedia perkhidmatan internet terkemuka di rantau Asia Pasifik, Web Commerce Communications Limited dan penyedia rumusan perusahaan, Qinetics Solutions Sdn Bhd.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Southampton, United Kingdom. - DagangNews.com








