KUALA LUMPUR 24 Jan - Penyedia perkhidmatan dan syarikat rumusan luar pesisir yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, Two Offshore Marine Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Databayu Enterprise Sdn Bhd, bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan sokongan dan logistik luar pesisir yang boleh dipercayai di rantau ini.
Kerjasama itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kepakaran dalam sektor minyak dan gas (O&G).
Two Offshore Marine merupakan penyedia perkhidmatan dan rumusan luar pesisir yang diiktiraf kerana kecekapan dan kualitinya yang tinggi dalam industri O&G di Malaysia.
Databayu Enterprise pula adalah syarikat Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan katering luar pesisir dan perkhidmatan berkaitan, pembekalan bahan dan peralatan serta pembekalan tenaga kerja.
Pengarahnya, Gunaseelan Kuppusamy berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Databayu Enterprise, sebuah syarikat yang berkongsi komitmen terhadap kecemerlangan dan inovasi.
"Kerjasama ini akan membolehkan kami meningkatkan kualiti perkhidmatan luar pesisir, dengan menawarkan rumusan yang disesuaikan dan berkesan bagi memenuhi keperluan dinamik pelanggan kami dalam industri O&G.
"Bersama-sama, kami menetapkan penanda aras baharu bagi piawaian industri dan pelaksanaan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan dibuat di ibu pejabat Databayu Enterprise, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Databayu Enterprise, Cynthia Abeng, turut menekankan kepentingan kerjasama dalam memajukan industri O&G di rantau ini.
"Kami yakin kerjasama dengan Two Offshore Marine ini akan membawa kami ke tahap yang lebih tinggi. Dengan menggabungkan kepakaran, sumber daya, serta komitmen terhadap keselamatan, kecekapan dan kepuasan pelanggan, kami akan memberikan perkhidmatan yang tiada tandingan kepada pelanggan kami.
"Kami komited untuk memastikan operasi pelanggan kami disokong dengan piawaian tertinggi dalam kualiti, kebolehpercayaan dan tentunya, sebagai penyedia katering luar pesisir, kami pasti menyediakan makanan yang lazat dan berkhasiat," ujarnya.
Dengan menggabungkan kekuatan masing-masing, Two Offshore Marine dan Databayu Enterprise komited untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh seperti sokongan kapal, perkhidmatan katering dan pengurusan logistik.
Kerjasama itu sejajar dengan matlamat kedua-dua syarikat untuk memajukan piawaian industri, membangunkan bakat tempatan dan mengekalkan tahap keselamatan serta kelestarian yang tertinggi. - DagangNews.com








