Tune Protect, Verdant Solar bekerjasama tawarkan model solar kediaman berintegrasi dilindungi insurans pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect, Verdant Solar bekerjasama tawarkan model solar kediaman berintegrasi dilindungi insurans pertama di Malaysia

Hans-Joachim Zimmermann (kiri) dan Zeth Lim (kanan) menandatangani plak khas sebagai gimik pelancaran kerjasama antara Tune Protect Malaysia dan Verdant Solar. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MacTune Protect Malaysia dan Verdant Solar Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik memperkenalkan model solar kediaman berintegrasi pertama di Malaysia dengan perlindungan insurans.


Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan panel solar bumbung dalam kalangan pemilik rumah, memandangkan lebih daripada 97% kediaman di Malaysia masih belum mempunyai sistem tersebut.


Wakil Lantikan Tune Protect, Hans-Joachim Zimmermann berkata, pemasangan sistem bersepadu tersebut menunjukkan potensi pertumbuhan yang sangat besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

 

 

 

 


"Menerusi kerjasama ini, pemilik rumah yang memasang sistem solar melalui Verdant Solar menerima perlindungan insurans secara automatik terus daripada kami," jelasnya pada sidang akhbar hari ini. 


Terdahulu, beliau bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Verdant Solar, Zeth Lim menandatangani plak khas sebagai gimik pelancaran kerjasama sulung berkenaan yang julung kali dilaksanakan di Malaysia.


Perlindungan tersebut merangkumi kerosakan tidak disengajakan akibat ribut, kebakaran atau kejadian luar jangka, serta kehilangan penjimatan elektrik susulan gangguan atau kerosakan operasi sistem.

 

tune verdant
Hans-Joachim Zimmermann (tengah) dan Zeth Lim (kanan) pada sidang akhbar selepas pelancaran kerjasama antara Tune Protect Malaysia dan Verdant Solar. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Hans-Joachim menjelaskan lanjut menyatakan bahawa integrasi insurans dalam pemasangan solar adalah kritikal untuk memberi keyakinan kepada masyarakat untuk mengamalkan rumusan kediaman lestari. 


"Sistem solar adalah pelaburan jangka panjang terdedah risiko seperti kilat. Peranan kami adalah merapatkan jurang perlindungan yang biasanya tidak ditangani oleh skim waranti standard," katanya.


Inisiatif ini juga memperkukuhkan komitmen Tune Prtotect dalam komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk Pelan Hala Tuju Sifar Bersih serta pengukuhan portfolio sejak 2023.


Sementara itu Zeth berkata, kerjasama berkenaan menyokong sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk Malaysia mencapai sasaran 70% kapasiti RE ditetapkan kerajaan menjelang 2050. 


Dengan inisiatif seperti Program Solar ATAP, kumpulan itu jelasnya, mahu menjadikan solar sebagai pilihan lebih selamat, mudah diakses, dan menarik dari segi kewangan untuk ramai pemilik rumah.

 

 

 

 

 


"Kami turut menyasarkan lebih 30,000 kediaman yang memasang panel Verdant Solar akan dilengkapi dengan sistem perlindungan integrasi Tune Protects dalam masa tiga tahun akan datang," tambahnya.


Keyakinan itu kata Zeth bersandarkan reputasi kumpulan menerajui pasaran solar kediaman dengan rekod pemasangan terbanyak melalui Malaysian Book of Records dari 2022 hingga 2024. - DagangNews.com