KUALA LUMPUR 27 Feb - Tune Protect Group Bhd mencatatkan prestasi luar biasa apabila kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM9.5 juta pada suku keempat berkahir 31 Disember 2024 (4QFY24) berbanding kerugian bersih RM18.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya diorong trend pemulihan yang baik.
Hasil kumpulan bagi suku berkenaan juga meningkat RM98.9 juta berbanding RM43.1 juta pada 4QFY23.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, keuntungan diterajui pertumbuhan ketara dalam keputusan perkhidmatan insurans bersih, didorong segmen perjalanan.
Katanya, keputusan perkhidmatan insurans bersih untuk 4QFY24 meningkat 82.8% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM11.1 juta, dan lebih daripada 100% kepada RM3 juta untuk FY24.
"Prestasi kukuh ini disebabkan peningkatan dalam kos pemerolehan kami disebabkan perubahan dalam campuran portfolio, serta nisbah insurans semula yang lebih rendah.
"Walaupun hasil insurans meningkat dengan ketara ia bagaimanapun menyusut sedikit sebanyak 1.2% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM99 juta pada 4QFY24.
"Tidak termasuk kemerosotan nilai Tenang sebanyak RM43.6 juta pada 4QFY23, pertumbuhan hasil insurans kekal kukuh pada 14.2%. Untung bersih meningkat lebih 100%, didorong pertumbuhan hasil, premium insurans semula yang lebih rendah, perbelanjaan boleh diagih yang lebih rendah dan peruntukan cukai yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untung bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) meningkat kepada RM2.7 juta disokong peningkatan hasil sebanyak RM389.2 juta berbanding RM374.1 juta pada FY23.
Kim Lian berkata, prestasi pelaburan kumpulan stabil walaupun merosot sedikit kepada RM30 juta disebabkan ketidaktentuan pasaran di tengah-tengah kenaikan kadar Fed yang dan ketidaktentuan dasar AS.
“Kami terus mengekalkan strategi pelaburan yang sebahagian besarnya konservatif. Pada 4QFY4, kami menyelesaikan imbangan semula portfolio kami ke dalam pelaburan dalam dana Unit Amanah Berisiko Rendah yang kebanyakannya dilaburkan dalam Sekuriti Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Bon Korporat Dijamin Kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai prospek, beliau berkata,selaras dengan strategi pertumbuhannya, Tune Protect memperluaskan jangkauan pasarannya melangkaui Malaysia, mengembangkan perkongsian ejen pelancongan penerbangan di Thailand, China dan pasaran utama lain.
Katanya, Tune Protect merancang untuk melancarkan perkhidmatan Delay Lounge Pass ke wilayah baharu dan meneroka peluang penggabungan yang inovatif, seperti Insurans Penangguhan Penerbangan bersaiz kecil yang disepadukan dengan program korporat syarikat penerbangan.
Bagi meningkatkan lagi pengalaman pengembara, Tune Protect sedang mengenal pasti perkhidmatan tambah nilai berkaitan perjalanan baharu seperti eSIM pada suku akan datang. Inisiatif strategik itu mengesahkan komitmen kumpulan bagi menyampaikan rumusan insurans perjalanan yang komprehensif dan inovatif.
“Fokus strategik kami akan terus memberi penekanan kepada pengembangan produk insurans perjalanan kami dan segmen perniagaan menguntungkan lain sambil memberi tumpuan kepada pengurusan kos.
"Dengan memanfaatkan kepakaran dan metodologi inovatif, kami menyasarkan untuk mengenal pasti dan memanfaatkan peluang pasaran baharu dan seterusnya mencapai pertumbuhan yang mampan,”katanya.- DagangNews.com








