Tune Protect dijangka catat pertumbuhan kukuh segmen motor lebih 15% FY26 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect dijangka catat pertumbuhan kukuh segmen motor lebih 15% FY26 - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mei - Tune Protect Group Bhd dijangka mencatat pertumbuhan premium kasar bertulis (GWP) bagi segmen motor melebihi 15% menjelang 2026, disokong oleh kerjasama baharu dan pengembangan berterusan saluran agensi syarikat, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah tersebut dijangka membantu mempelbagaikan sumbangan pendapatan kumpulan selain mengukuhkan daya tahan perniagaan dalam jangka panjang.

 

Prestasi segmen motor itu hadir ketika industri insurans am terus berdepan tekanan kos tuntutan. Persatuan Insurans Am Malaysia sebelum ini melaporkan segmen insurans motor mencatat nisbah gabungan sebanyak 103% bagi tahun kewangan 2025 (FY25), menandakan jumlah tuntutan melebihi premium yang dikutip.

 

"Bagaimanapun, Tune Protect dilihat berjaya memperbaiki nisbah tuntutan bersih ditanggung (NCI) segmen motornya menerusi strategi mengurangkan pendedahan kepada sub-segmen kurang menguntungkan dan memberi tumpuan kepada kenderaan dengan jumlah perlindungan sederhana hingga tinggi serta motosikal," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam masa sama, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Tune Protect, namun menurunkan harga sasaran kepada RM0.38 sesaham berbanding RM0.46 sebelum ini selepas menyemak semula asas penilaian kepada 0.5 kali PB CY27.

 

Segmen Pengembaraan

Sementara itu, TA Securities berkata, prospek segmen pengenbaraan syarikat dijangka lebih mencabar susulan ketidaktentuan geopolitik melibatkan konflik AS/Israel-Iran yang dijangka meningkatkan kos perjalanan serta menjejaskan trafik penumpang global.

 

Untuk FY25, segmen pengembaraan Tune Protect mencatat pertumbuhan GWP sebanyak 25.6% tahun ke tahun, sekali gus meningkatkan sumbangan segmen itu kepada jumlah keseluruhan GWP kepada 44% berbanding 34% pada FY24.

 

Namun, firma penyelidikan tersebut kini menurunkan unjuran pertumbuhan GWP segmen pengembaraan bagi FY26 kepada 5.3%, jauh lebih rendah berbanding anggaran awal 15.5%.

 

Langkah itu mengambil kira pelarasan kapasiti syarikat penerbangan serta perubahan corak perjalanan pengguna yang kini lebih cenderung memilih laluan domestik dan destinasi serantau Asia.

 

Selain itu, kadar pengambilan insurans perjalanan domestik yang masih rendah berbanding perjalanan antarabangsa turut dijangka memberi kesan kepada momentum pertumbuhan segmen tersebut.

 

Walaupun begitu, Tune Protect dilihat terus memperkukuh penawaran produk berkaitan perjalanan menerusi pengenalan Travel Comfort yang menawarkan perkhidmatan berkaitan pemindahan lapangan terbang bagi meningkatkan penglibatan pelanggan dan pendapatan sampingan.

 

Dari sudut pulangan kepada pemegang saham, Tune Protect mengumumkan dividen akhir sebanyak 1.3 sen bagi FY25 yang akan dibayar pada 24 Julai 2026, bersamaan hasil dividen sekitar 4.3%.

 

Pengumuman itu juga menandakan pembayaran dividen pertama syarikat sejak FY18 selepas kembali mencatat keuntungan. - DagangNews.com