KUALA LUMPUR 28 Mei – Rapid KL mengaktifkan pelan operasi alternatif melibatkan perkhidmatan tren dan bas pengantara susulan gangguan di laluan Ampang/Sri Petaling selepas sebuah tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin pagi tadi.
Langkah itu dilaksanakan bagi memastikan pergerakan penumpang dapat diteruskan walaupun operasi di beberapa laluan utama terpaksa diubah sementara waktu ekoran insiden berkenaan.
Menurut Rapid KL, tren dari Stesen LRT Sentul Timur kini beroperasi secara berpatah balik di Stesen LRT Pudu dengan kekerapan setiap empat minit.
"Bagi membantu melancarkan perjalanan pengguna, perkhidmatan tren pengantara antara Stesen LRT Cheras dan Stesen LRT Bandar Tasik Selatan turut disediakan menggunakan Platform 1 dengan sela masa lapan minit.
"Selain itu, tren pengantara antara Stesen LRT Ampang dan Stesen LRT Pandan Jaya beroperasi pada kekerapan setiap lima minit.
"Dalam masa sama, perjalanan tren dari Stesen LRT Putra Heights hanya sampai ke Stesen Bandar Tasik Selatan buat sementara waktu dengan ketibaan tren setiap empat minit," katanya dalam satu kenyataan.
Rapid KL turut menyediakan bas pengantara percuma di beberapa stesen utama termasuk Stesen LRT Hang Tuah, Chan Sow Lin, Stesen LRT Maluri dan Pandan Jaya bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.
Perkhidmatan bas pengantara tambahan turut disediakan bagi laluan Hang Tuah–Chan Sow Lin–Cheras untuk mengurangkan kesesakan penumpang di kawasan terjejas.

Menurut syarikat itu, bas pengantara beroperasi pada sela masa antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.
Rapid KL turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan maklumat terkini menerusi media sosial rasmi dan aplikasi MyRapid Pulse.
Pengguna yang menuju ke pusat bandar turut disaran menggunakan Laluan Putrajaya dengan pertukaran di stesen MRT Sungai Besi sebagai laluan alternatif.
Gangguan perkhidmatan itu berlaku selepas sebuah tren laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir ketika melalui pertukaran landasan di Stesen Chan Sow Lin pagi tadi.
Kejadian tersebut menyebabkan operasi di beberapa laluan utama terjejas selain mencetuskan kesesakan penumpang pada waktu puncak pagi sehingga ramai pengguna dilaporkan terkandas dan lewat ke tempat kerja.
Rapid KL memaklumkan kesemua 25 penumpang yang berada di dalam tren terbabit berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Syarikat itu turut mengesahkan gambar serta video kejadian yang tular di media sosial adalah sahih termasuk rakaman yang menunjukkan penumpang berjalan di atas landasan ketika proses pemindahan dijalankan.
Setakat ini, pemeriksaan teknikal dan penilaian keselamatan sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan kegagalan sistem pertukaran landasan selain memastikan operasi perkhidmatan dapat dipulihkan secepat mungkin.- DagangNews.com








