KUALA LUMPUR 12 Feb - Treasure Global Inc. yang menyediakan rumusan teknologi, perdagangan digital dan teknologi kewangan, mengumumkan perolehan 51% kepentingan pengawalan dalam Tien Ming Distribution Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, VWXYZ Venture Sdn Bhd.
Langkah itu menandakan pengembangan besar syarikat ke dalam pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan e-dagang yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Pemerolehan tersebut memberi Treasure Global peluang untuk mendapat 10% daripada jualan tahunan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dengan memanfaatkan perkongsian eksklusif Tien Ming Distribution bersama F&N, yang juga satu daripada syarikat makanan dan minuman terbesar di Malaysia.
Dengan menggabungkan teknologi perdagangan digital canggih Treasure Global dengan rangkaian pengedaran F&N yang kuat, syarikat berhasrat meningkatkan pendapatan, memperbaiki kecekapan operasi dan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor FMCG dan e-dagang.
Menurut Statista, pasaran FMCG Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.95% dari 2023 hingga 2027.
Selain itu, pasaran FMCG dijangka mencapai kira-kira RM710.23 menjelang 2033, berkembang pada CAGR 3.66% dari 2025 hingga 2033.
F&N, yang diiktiraf sebagai satu daripada lima jenama minuman utama di Malaysia pada 2023, terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran.
Pemerolehan berkenaan membuka peluang besar untuk pertumbuhan bagi Treasure Global dan pelaburnya dengan mengembangkan aliran pendapatan melalui penyertaan dalam rangkaian bekalan F&B terbesar di Malaysia.
Dengan mengukuhkan keupayaan logistik, penghantaran dan perdagangan digital, Treasure Global dapat meningkatkan kecekapan operasi dan perkhidmatan, sekali gus membantu syarikat mengukuhkan daya saing di pasaran dan menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang.
Selain itu, pemerolehan tersebut memberi peluang untuk pengembangan serantau di Asia Tenggara, memanfaatkan kemudahan dan kepakaran syarikat untuk terus berkembang dan meningkatkan nilai pemegang saham.
Treasure Global menjangkakan pendapatan RM518.17 juta dalam tiga tahun akan datang dengan memanfaatkan penyertaan langsungnya dalam jualan tahunan F&N yang berjumlah RM5.18 bilion, meraih 10% daripada pengedaran nasional F&N.
Pertumbuhan itu akan dipacu oleh pengedaran jenama terkenal seperti 100PLUS, F&N SEASONS dan Magnolia, yang akan mengukuhkan kedudukan Treasure Global dalam sektor FMCG.
Selain itu, syarikat juga akan mengembangkan kedudukannya dalam e-dagang melalui TM Grocer, platform beli-belah dalam talian Tien Ming Distribution, memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk membeli-belah digital di Malaysia.
Dengan menggabungkan pendorong pendapatan utama tersebut, pemerolehan berkenaan meningkatkan prospek kewangan Treasure Global, memperbaiki keupayaan logistik dan penghantarannya, serta mempercepatkan pertumbuhan pendapatan jangka panjang dalam perdagangan digital, memberikan nilai lebih kepada pelabur.
CEO Treasure Global Inc, Carlson Thow berkata, pemerolehan itu adalah strategi pertumbuhan Treasure Global, menyepadukan syarikat dalam industri FMCG dan e-dagang Malaysia yang sedang berkembang pesat.
"Dengan menggabungkan rangkaian logistik terbukti Tien Ming Distribution dan perkongsiannya dengan F&N bersama kepakaran perdagangan digital kami, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mengembangkan operasi.
"Peluang pendapatan RM518.16 juta yang dijangkakan menunjukkan kesan kewangan jangka panjang daripada langkah strategik ini, yang akan mencipta nilai besar untuk Treasure Global dan pelabur kami," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








