TotalEnergies menang kontrak 21 tahun bekalkan tenaga kepada pusat data Google di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TotalEnergies menang kontrak 21 tahun bekalkan tenaga kepada pusat data Google di Malaysia

Ibu pejabat TotalEnergies di daerah perniagaan La Défense, berhampiran Paris - Gambar AFP

GDANSK 17 Dis - TotalEnergies memaklumkan syarikat tenaga Perancis itu telah menandatangani perjanjian bekalan tenaga selama 21 tahun dengan Alphabet Inc. milik Google, dengan komitmen membekalkan satu terawatt jam tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong operasi pusat data Google di Malaysia.

 

Menurut TotalEnergies, bekalan tenaga tersebut akan dijana daripada loji solar baharu Citra Energies di Malaysia, yang dijadualkan memulakan pembinaan pada awal 2026.

 

Kontrak bekalan tenaga itu dijangka berkuat kuasa pada suku pertama tahun hadapan, menurut laporan REUTERS.

 

Dalam perjanjian berasingan yang ditandatangani pada November lalu, TotalEnergies turut bersetuju untuk membekalkan tenaga kepada pusat data Google yang berpangkalan di Ohio, Amerika Syarikat.

 

Pusat data yang kebanyakannya diasaskan oleh syarikat teknologi gergasi kini memerlukan jumlah tenaga yang semakin meningkat apabila kumpulan teknologi berlumba-lumba memenuhi keperluan pembangunan kecerdasan buatan (AI), yang sering kali melepasi kapasiti utiliti elektrik domestik. 

 

Google menandakan pencapaian baharu dalam matlamatnya untuk mempercepatkan transformasi digital di Malaysia dengan komitmen pelaburan AS$2 bilion (RM9.37 bilion) di negara ini, termasuk pembangunan Pusat Data Google pertamanya dan Rantau Google Cloud.

 

Pelaburan tersebut adalah bagi memenuhi pertumbuhan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan tempatan dan seluruh dunia, dan program literasi Al untuk pelajar dan pendidik Malaysia.

 

Tapak pelaburan Malaysia adalah di Elmina Business Park milik Sime Darby Property, di Sungai Buloh dekat Kuala Lumpur.

 

Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara tempat Google telah membina dan kini mengendalikan pusat data yang melayani pengguna di seluruh dunia. - DagangNews.com