KUALA LUMPUR 25 Jun - Toshiba Sales & Services Sdn Bhd melancarkan Peti Sejuk NaturePURE Siri 820L yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai peti sejuk berkapasiti terbesar di rantau Asia Pasifik.
Pelancaran itu merupakan pencapaian penting sempena sambutan ulang tahun Toshiba yang ke-95, sebagai penghormatan kepada hampir satu abad kepimpinan dalam inovasi, kebolehpercayaan dan kecemerlangan berfokuskan pelanggan.
Pengarah Urusan Toshiba Sales & Services, Steven Yang berkata, Peti Sejuk NaturePURE 820L merupakan peti sejuk empat pintu, sisi-ke-sisi pertama di Asia Pasifik dengan kapasiti melebihi 820 liter.
Katanya, peti ais itu menawarkan ruang penyimpanan yang luas dan dibahagikan mengikut segmen sesuai untuk menyusun segala-galanya daripada makanan bayi dan hasil segar hingga ke barangan penjagaan kulit dan keperluan sejuk beku.
Dikuasakan Teknologi Kapasiti Tinggi, NaturePURE menampilkan penebat ultra nipis dan pengecilan komponen bagi memaksimumkan ruang dalaman tanpa menambah saiz luaran.

“Pada 2025, Toshiba terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan mengembangkan portfolio produk terpelbagai kami untuk mencerminkan keperluan dan nilai pengguna yang semakin berkembang
"Toshiba juga menyasarkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 25% berbanding 2024, didorong peningkatan permintaan pengguna terhadap peralatan rumah yang canggih dari segi teknologi dan estetika," katanya semasa pelancaran produk itu di Damansara Utama, hari ini.
Pada majlis itu juga, Toshiba turut mempamerkan pelbagai barangan elektrik keluaran mereka seperti mesin basuh, pengering baju, ketuhar, pemanas air, penapis air dan penghawa dingin.

Steven berkata, Toshiba akan memperuntukkan lebih kurang RM20 juta dibawah inisiatif 2025-2026 bagi pemasaran digital, penjenamaannya serta meningkatkan akses dan pengalaman pelanggan di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, sudah membuka kedai jenama pertamanya di Kuala Lumpur pada 2024 bagi meningkatkan akses serta pengalaman pelanggan dan menerima sambutan luar biasa daripada pengguna.
Katanya, kejayaan itu mendorong perluasan pesat dengan 14 kedai jenama kini beroperasi di seluruh negara.
"Kami menyasarkan pembukaan satu kedai utama (flagship store) dan penubuhan 50 outlet Shop-in-Shop (SIS) menjelang akhir 2025," katanya.

Beliau berkata, penguasaan pasaran itu didorong permintaan berterusan terhadap rumusan rumah pintar, berfungsi dan cekap tenaga, mencerminkan kekuatan jenama dalam menawarkan rumusan gaya hidup yang relevan untuk isi rumah Malaysia.
Katanya, di peringkat Asia Pasifik, Toshiba terus mengukuhkan jejak pasaran, dengan Thailand dan Jepun kekal dominan dari segi kesetiaan pelanggan.
Sementara itu, beliau turut mengulas pelan inovasi Toshiba yang merangkumi pelancaran berterusan siri Japandi gabungan harmonis reka bentuk Jepun dan Scandinavia.
Menurutnya, selepas pelancaran peti sejuk Japandi pertama pada 2024, konsep ini akan dikembangkan kepada produk lain seperti mesin basuh pinggan mangkuk, penulen air dan peralatan rumah lain membawa rekaan minimalis dan fungsi intuitif ke dalam rumah moden rakyat Malaysia. - DagangNews.com








