KUALA LUMPUR 16 Dis - TopVision Eye Specialist Bhd membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan premium 18.18% berbanding tawaran awam permulaan (IPO).
Saham syarikat itu dibuka pada 39 sen, lebih tinggi berbanding harga tawarannya 33 sen sesaham
Sebagai antara perintis dalam perkhidmatan penjagaan mata yang boleh diakses dan termaju yang disenaraikan di Pasaran LEAP pada 2018, kumpulan itu telah mengukuhkan dirinya sebagai penyedia yang dipercayai dalam landskap penjagaan kesihatan Malaysia.
Syarikat itu mengendalikan 11 pusat jagaan ambulatori (ACC) di seluruh negara, menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada penjagaan mata am kepada rawatan subkepakaran, memenuhi keperluan pesakit tempatan dan antarabangsa.
IPO yang berjaya mengumpul RM17.9 juta, akan diperuntukkan secara strategik untuk menyokong pengembangan dan matlamat operasi Syarikat.
Secara khususnya, RM7.9 juta akan digunakan untuk membiayai pembangunan dengan tambahan RM5 juta diperuntukkan untuk penubuhan cawangan Kuala Terengganu dan Tawau.
Sejumlah RM500,000 adalah bagi menambah baik kemudahan sedia ada melalui pembelian mesin perubatan dan baki RM4.5 juta disediakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Naib Pengerusi Eksekutif TopVision, Datuk Kenny Liew Hock Nean berkata, pemindahan penyenaraian itu mencerminkan komitmen mereka dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang boleh diakses di seluruh Malaysia.
"Dengan peralihan ini, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan dalam sektor penjagaan kesihatan mata Malaysia, mengembangkan rangkaian perkhidmatan dan meningkatkan standard penjagaan pesakit ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hong Leong Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan pemilik buku tunggal.- DagangNews.com








