KUALA LUMPUR 14 Mac - Topmix Bhd menerusi Topmix Resources Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Navabuild Contract Sdn Bhd bagi pelupusan tanah industri seluas 0.78 hektar di Seelong Johor pada harga RM6.1 juta.
Kumpulan itu berkata, hasil pelupusan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan membiayai modal kerja kumpulan.
Topmix berhasrat menggunakan kira-kira RM5.26 juta daripada hasil yang diperoleh bagi pembayaran balik sebahagian pinjaman bank anak syarikatnya.
Jumlah pinjaman berjangka terkumpul Topmix Resources adalah kira-kira RM19.72 juta pada 31 Januari 2025.
Cadangan pembayaran balik pinjaman bank dijangka mempunyai penjimatan faedah tahunan kira-kira RM174,000.
"Hasil tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada aliran tunai masa hadapan kumpulan kerana pembayaran balik pinjaman bank membolehkan Topmix menurunkan nisbah penggearannya.
"Selain itu, ia juga akan menambah baik kedudukan kewangan kumpulan dengan merealisasikan keuntungan pro forma bersih kira-kira RM1.98 juta daripada cadangan pelupusan itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Cadangan pelupusan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham besar syarikat.
Melainkan sebarang keadaan yang tidak dijangka, dan tertakluk kepada penyiapan SPA, lembaga pengarah menjangkakan cadangan pelupusan itu akan selesai menjelang suku ketiga 2025.- DagangNews.com








