KUALA LUMPUR 19 Mac – Top Glove Corporation Berhad dibimbangi berdepan risiko lonjakan kos bahan mentah nitrile butadiene rubber (NBR) sehingga 23% hingga 44% susulan konflik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, menurut MBSB Research, syarikat berkenaan dinilai masih berupaya menukar pengeluaran kepada sarung tangan getah asli serta dijangka mampu lagi mengekalkan margin keuntungan semasa.
Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas sahamnya dengan harga sasaran 78 sen selepas prestasi kewangan separuh pertama tahun kewangan 2026 (6MFY26) memenuhi jangkaan.
"Untung teras enam bulan itu melonjak lebih 100% tahun ke tahun (YoY) kepada RM88 juta berbanding RM18.2 juta sebelumnya, manakala hasil naik 7% kepada RM1.9 bilion," katanya dalam nota hari ini.
Prestasi itu jelas MBSB Research, dipacu peningkatan volum jualan iaitu 57% YoY, kadar penggunaan kilang lebih tinggi serta kecekapan kos walaupun harga jualan purata (ASP) didapati lebih rendah.
Bagi suku kedua FY26 tambah firma berkenaan, Top Glove merekodkan hasil sebanyak RM1 bilion (+14% YoY) dengan keuntungan teras kira-kira RM46.4 juta berbanding hanya RM19 juta pada setahun lalu.
Peningkatan ketara volum jualan terutama di Amerika Utara (+95% YoY), diikuti Eropah Barat (+57%) dan Amerika Latin (+56%), mencerminkan pemulihan pegangan pasaran serta keyakinan pelanggan.
Artikel berkaitan: Top Glove catat untung bersih RM69 juta bagi 1HFY26, disokong pemulihan pasaran sarung tangan
"Pada masa sama, ASP jatuh 3% suku ke suku (QoQ) sejajar penurunan kos bahan mentah, dengan harga 1,000 keping sarung tangan nitril AS$17 (RM67) dan getah asli AS$16 (RM63)," kata MBSB Research.
Walaupun susut, Top Glove jelasnya, masih mampu mengekalkan sebahagian penjimatan kos menyokong keuntungan, dibantu kadar penggunaan kilang tinggi sebanyak 89% berbanding 58% sebelum ini.
Risiko utama namun kekal pada kenaikan harga NBR yang dijangka 7% menjelang 3QFY26, sekali gus berpotensi menaikkan ASP sarung tangan nitril sebanyak AS$9 (RM35) bagi setiap 1,000 keping.
Sehubungan itu, MBSB Research menilai syarikat itu berada pada kedudukan strategik mengalihkan pengeluaran kepada sarung tangan getah asli, yang stabil kos dan kurang terjejas gangguan stok.
“Keupayaan fleksibiliti pengeluaran ini membolehkan Top Glove mengekalkan kadar penggunaan tinggi serta melindungi margin walaupun berlaku gangguan bekalan serantau,” kata firma berkenaan lagi.
Selain itu tambahnya, kumpulan berkenaan juga giat mempelbagaikan sumber pembekal serta mencari laluan logistik alternatif bagi mengurangkan impak ketidaktentuan geopolitik di rantau Asia Barat.
MBSB Research menjangkakan pemulihan industri sarung tangan akan berterusan, disokong permintaan global yang kukuh, peningkatan kualiti produk serta strategi lindung nilai mata wang yang aktif.
Gabungan kecekapan operasi dan fleksibiliti pembuatan jelasnya, dijangka membantu Top Glove mengimbangi risiko kenaikan kos bahan mentah dan turun naik mata wang asing. - DagangNews.com








