Top Glove catat untung bersih RM69 juta bagi 1HFY26, disokong pemulihan pasaran sarung tangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove catat untung bersih RM69 juta bagi 1HFY26, disokong pemulihan pasaran sarung tangan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 MacTop Glove Corporation Berhad melaporkan prestasi kukuh dengan keuntungan bersih naik 92% kepada RM69 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026. 


Peningkatan ketara ini disokong oleh pertumbuhan volum jualan sarung tangan yang melonjak 36% bagi tempoh enam bulan tersebut, selain kadar penggunaan kapasiti kilang lebih tinggi mencecah 89%.


Situasi itu meningkatkan kecekapan kos dan produktiviti, meskipun prestasi terjejas sedikit oleh penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) secara mendadak pada pertengahan suku kedua.


"Inisiatif pengoptimuman kos dan pengurusan kualiti berterusan berjaya mengimbangi kesan tukaran mata wang asing (forex) tersebut," kata Top Glove dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Bagi suku kedua sahaja, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu mencatatkan, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM31 juta, meningkat 3% berbanding pada 2QFY25.


Hasil jualan turut mencecah RM1.0 bilion, pertambahan sebanyak 14% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, manakala volum jualan melonjak 57% dengan pasaran Eropah menunjukkan pemulihan ketara.


Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, prestasi syarikat digalakkan oleh pertumbuhan volum yang kuat serta didorong oleh faktor disiplin operasi secara berkesan.

Top Glove


"Walaupun tekanan forex menyederhanakan prestasi kami, usaha gigih warga kerja dalam menyampaikan kualiti dan kecekapan kos telah banyak membantu mengimbangi kesan tersebut," kata beliau lagi.


Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif kumpulan berkenaan, Tan Sri Dr Lim Wee Chai turut menyatakan keyakinan terhadap usaha pemulihan secara berterusan industri sarung tangan di pasaran global. 


Beliau menekankan keupayaan syarikat untuk menukar barisan pengeluaran antara sarung tangan nitril dan getah asli memberikan kelebihan daya saing dalam menguruskan turun naik bekalan bahan mentah.


Sehubungan itu, melangkah ke depan, Top Glove jelasnya, kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan memandangkan sarung tangan merupakan barangan keperluan penting yang merentas pelbagai sektor.


"Kumpulan ini kekal amalan perlindungan nilai selaras pergerakan forex dan memantau perkembangan geopolitik, termasuk konflik di Timur Tengah memberi kesan kepada stok lateks nitril," katanya.


Setakat 18 Mac 2026, Top Glove jelas beliau, mengendalikan sejumlah 51 kilang dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 95 bilion helai sarung tangan setahun. - DagangNews.com