KUALA LUMPUR 4 Mac - SMTrack Berhad mengumumkan kerjasama strategik antara anak syarikatnya, V Ultimate Sdn Bhd (VU) dan pengendali spa terkemuka dari Sri Lanka, Tonic Wellness (Pvt) Ltd (TW) untuk menguruskan sebuah spa yang terletak di Mid Valley, Kuala Lumpur.
Di bawah perjanjian tersebut, TW akan mengambil alih kawalan operasi pusat kesejahteraan berkenaan, memperkenalkan kepakaran pengurusan spa yang diiktiraf secara antarabangsa dan tawaran kesejahteraan lengkap.
Ini termasuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu, pakej perkhidmatan dan penetapan harga untuk semua perkhidmatan urut dan kesejahteraan.
Pusat urut dan kesejahteraan itu akan memanfaatkan kepakaran terbukti TW dalam menyediakan rawatan spa premium, terapi menyeluruh dan pengalaman kesejahteraan yang diperibadikan.
Ditubuhkan oleh usahawan United Kingdom, David William Swannell yang membawa banyak pengalaman dalam perniagaan dan visi strategik, serta pakar operasi spa Ruby Tolentino Sanches yang dikenali dengan pendekatan praktikalnya dalam mencipta persekitaran kesejahteraan yang tenang dan menyegarkan, TW telah membina reputasi kukuh dalam industri spa Sri Lanka.
Swannell berkata, beliau teruja untuk membawa kepakaran syarikatnya dalam pengurusan spa dan perkhidmatan kesejahteraan ke Malaysia melalui kerjasama dengan VU.
"Visi kami adalah untuk mengubah pusat kesejahteraan ini menjadi tempat yang memberikan ketenangan, pemulihan semula dan membantu orang merasa tenang serta menyegarkan diri mereka.
"Menggunakan pendekatan holistik kami bersama VU, kami mahu mencipta pengalaman yang benar-benar unik untuk setiap pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu selaras dengan objektif strategik SMTrack untuk mempelbagaikan portfolio perniagaannya selain rumusan jejak dan pengesanan (track and trace) serta operasi penghantaran kargo udara.
Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack, Datuk Azmi Bin Osman berkata, kerjasama dengan TW adalah bukti komitmen syarikat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai portfolio perniagaannya.
"Kerjasama dengan veteran industri seperti Swannell dan Sanches membolehkan pusat ini menetapkan tanda aras baharu dalam perkhidmatan spa, menawarkan pengalaman yang tiada tandingan kepada pelanggan kami.
"Kerjasama ini juga membuka peluang untuk peluasan pada masa depan, yang seterusnya mengukuhkan kedudukan kami dalam industri ini," katanya. - DagangNews.com








