TNB lancar BESS Santong 100MW/400MWh di Terengganu, sistem penyimpanan tenaga pertama disambung ke grid Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB lancar BESS Santong 100MW/400MWh di Terengganu, sistem penyimpanan tenaga pertama disambung ke grid Malaysia

BESS Santong di Dungun, Terengganu
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakar pencapaian penting dalam agenda peralihan tenaga negara apabila melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt-jam (MWh) di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Santong BESS dekat Dungun di Terengganu.

 

Projek ini merupakan sistem BESS pertama di Malaysia yang disambungkan terus kepada grid elektrik nasional yang akan memperkukuh keupayaan sistem bekalan elektrik negara dari segi kestabilan dan kebolehpercayaan.

 

Kemudahan tersebut dibangunkan sebagai inisiatif strategik TNB bagi mempertingkat keupayaan grid nasional dalam penyimpanan serta pelepasan tenaga secara terkawal, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

 

 

 

 

 

Majlis perasmian projek itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif SEDA, Datuk Hamzah Hussin; Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Sri Mad Zaidi Mohd Karli dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

 

t

 

t

 

t

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan elektrik, termasuk bagi menyokong pengurusan beban waktu puncak.

 

Menurut beliau, sistem itu turut menyokong integrasi tenaga boleh baharu pada skala lebih besar melalui teknologi ‘grid-forming’ selain menggunakan teknologi penyejukan cecair bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

“BESS Santong berfungsi sebagai ‘bank tenaga’ yang menyimpan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro, sebelum disalurkan semula ke grid apabila diperlukan.

 

“Melalui keupayaan tersebut, sistem berkenaan mampu mengimbangi turun naik bekalan dan permintaan elektrik secara masa nyata, khususnya ketika waktu puncak atau gangguan sistem, yang akan mengurangkan tekanan terhadap grid dan meningkatkan kestabilan bekalan elektrik,” katanya.

 

Tambah beliau, BESS Santong juga berupaya menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah di Pantai Timur, bergantung kepada corak penggunaan semasa.

 

 

t
BESS Santong berfungsi sebagai ‘bank tenaga’ pintar dengan teknologi penyejukan cecair serta keupayaan grid-forming yang membolehkan integrasi tenaga boleh baharu pada skala lebih besar, di samping memberikan tindak balas pantas terhadap perubahan keadaan sistem. 

 

t
Petugas teknikal TNB menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sistem BESS Santong bagi memastikan operasi berada pada tahap optimum, selamat dan berdaya harap dalam menyokong kestabilan grid nasional.

 

Shamsul turut memaklumkan projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh 309 hari dari tarikh mula hingga mula tugas, mencerminkan kecekapan pelaksanaan projek infrastruktur tenaga oleh TNB.

 

 

 

 

 

 

 

Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan pendigitalan melalui analitik dan teknologi masa nyata telah memperkukuh kecekapan operasi grid, termasuk dalam meramal permintaan tenaga, mengoptimumkan pengagihan bekalan serta pemantauan aset secara langsung.

 

Menurutnya, pembangunan BESS Santong selaras dengan NETR dan mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam memperkukuh infrastruktur grid negara bagi menyokong integrasi tenaga boleh baharu secara lebih meluas, selain meningkatkan daya tahan sistem tenaga negara. - DagangNews.com