TNB diunjur terus catat perkembangan disokong pendapatan berdaya tahan, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB diunjur terus catat perkembangan disokong pendapatan berdaya tahan, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilihat sebagai pelaburan stabil berikutan daya tahan pendapatannya selain penilaian yang sederhana di sebalik ketidaktentuan pasaran, kata Maybank Investment Bank.

 

Katanya, lebih 70% daripada pendapatan utiliti tenaga disandarkan oleh asas pendapatan terkawal yang berdaya tahan.

 

“Pendapatan jangka sederhana disandarkan kepada pulangan tetap pada asas aset terkawal yang bertumpu domestik yang semakin meningkat, dengan potensi risiko peningkatan daripada penggunaan perbelanjaan modal luar jangka (capex) dan pemulihan sumbangan penjanaan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di bawah tempoh kawal selia 2025 hingga 2027 atau RP4, kadar tarif asas yang dicadangkan lebih tinggi telah memfaktorkan modal asas tiga tahun sebanyak RM26.6 bilion pada pulangan terkawal 7.3%. 

 

Katanya, belanjawan luar jangka RM16.3 bilion tidak termasuk dalam tarif asas, dengan mekanisme pemulihan masih dimuktamadkan.

 

“Mengikut anggaran kami, menggunakan sepenuhnya belanjawan luar jangka boleh meningkatkan keuntungan bersih tahun kewangan 2027 (FY27) kami sebanyak kira-kira 8%,” katanya.

 

Maybank IB berkata, satu lagi aspek positif bagi saham itu ialah sumbangan perniagaan penjanaan kumpulan itu dijangka pulih dengan Manjung 4 kini beroperasi berlaku masalah pada FY24.

 

Katanya, sumbangan segmen penjanaan kepada pendapatan disatukan TNB tidak serta-merta jelas kerana pendapatan segmen penjanaan yang dilaporkan terkesan oleh margin bahan api.

 

Walaupun positif, Maybank IB buat masa ini mengekalkan unjuran pendapatannya dan mengadakan panggilan "pegang" ke atas TNB dengan harga sasaran RM14.50 sesaham selepas memasukkan parameter asas RP4 dan pembayaran dividen 50%. - DagangNews.com