KUALA LUMPUR 5 Mac - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka terus memperoleh manfaat daripada usaha menaik taraf atau memperbaiki sistem penghantaran dan pengedaran elektrik yang sedang dilaksanakan di negara ini.
Menurut RHB Research, peningkatan permintaan elektrik sebanyak 6.2 peratus sepanjang FY2024, didorong terutamanya oleh pertumbuhan 9.2 peratus dalam segmen komersial dan peningkatan 8.5 peratus dalam segmen domestik.
Katanya, kapasti tenaga boleh diperbaharui (RE) semasa TNB menunjukkan sedikit peningkatan setiap suku tahun kepada 4.5 gigawatt, mewakili 21 peratus daripada jumlah kapasiti syarikat.
Bank tersebut menyatakan, perbelanjaan modal asas (capex) TNB merangkumi purata pertumbuhan permintaan sebanyak empat hingga lima peratus, manakala capex bersyarat boleh menampung pertumbuhan permintaan tambahan sebanyak tiga peratus.
"Bagaimanapun, kami masih tidak pasti mengenai pelaksanaan capex bersyarat dan syarat-syarat yang berkaitan.
"Permintaan elektrik di Malaysia akan terus meningkat, namun pusat data yang bergantung kepada kapasiti yang sudah dijanjikan mungkin sukar untuk berkembang jika tidak dapat menggunakan teknologi pengkomputeran terbaru yang diperlukan, seperti kemudahan kecerdasan buatan (AI)," kata RHB Research dalam satu laporan.
TNB mencatatkan pertumbuhan 21 peratus dalam pendapatan teras untuk FY2024, mencecah RM3.8 bilion, sejajar dengan unjuran RHB Research.
RHB Research mengaitkan pertumbuhan itu dengan pengurangan kesan negatif margin bahan api, yang membantu mengimbangi peningkatan perbelanjaan operasi.
Ia menyatakan, keputusan kewangan FY2024 TNB berada dalam jangkaan firma tersebut.
Walaupun pendapatan TNB positif, RHB Research menurunkan harga sasaran (TP) untuk TNB kepada RM15.50 sesaham daripada RM16.60 sebelum ini, mencerminkan jangkaan pertumbuhan jangka panjang yang lebih rendah berikutan ketidaktentuan perkembangan pusat data.
Firma tersebut mengekalkan saranan 'beli terhadap TNB, melihatnya sebagai perantara utama bagi peralihan tenaga Malaysia di bawah Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR). - DagangNews.com








