KUALA LUMPUR 28 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilihat sebagai calon utama untuk memenangi sebahagian besar kapasiti dalam tender penjanaan tenaga berasaskan gas Malaysia, ketika tumpuan pelabur semakin meningkat terhadap inisiatif Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi menangani potensi jurang bekalan elektrik negara.
Dalam nota penyelidikan sektor tenaga dan utiliti terbaharu, TA Research berkata TNB berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai pemenang utama tender tersebut, disokong oleh rekod operasi yang kukuh, kekuatan imbangan kewangan serta akses kepada tapak strategik yang telah sedia dihubungkan kepada grid nasional dan infrastruktur saluran paip gas sedia ada.
Pada Mei 2025, ST melancarkan Permintaan Cadangan (RFP) bagi kapasiti penjanaan kuasa berasaskan gas, meliputi dua kategori iaitu kapasiti baharu serta lanjutan atau pengembangan loji yang bakal tamat atau baru sahaja tamat tempoh operasinya. Tender ini bertujuan memastikan kesinambungan bekalan elektrik ketika aset lama mula disingkirkan dan permintaan tenaga terus meningkat.
“Kami percaya TNB menonjol sebagai pencabar paling kukuh, disokong oleh skala operasi, keupayaan pelaksanaan serta ketersediaan tapak sesuai yang berkait dengan loji kuasa yang hampir tamat atau telah tamat tempoh, sekali gus mengurangkan risiko pembangunan dan pentauliahan,” kata TA Research.
Sumber industri memaklumkan sehingga 8 gigawatt (GW) kapasiti ditawarkan, merangkumi gabungan lanjutan jangka pendek Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) serta pembangunan baharu (greenfield), dengan sasaran pentauliahan antara 2026 hingga 2029.
Selain TNB, syarikat lain yang dilihat berpotensi memenangi tender ialah Malakoff, Petronas Gas, YTL Power International dan Edra Energy (tidak tersenarai) namaun TA Research berpandangan TNB dan Malakoff memiliki kelebihan yang memberi kebarangkalian lebih tinggi untuk mereka memperoleh kapasiti yang signifikan.
Firma penyelidikan itu turut menyatakan keputusan tender, yang dijangka diumumkan secara berperingkat bermula awal 2026, bakal menjadi pemangkin utama jangka terdekat bagi sektor tenaga, dengan pelabur menilai implikasinya terhadap keterlihatan pendapatan dan hala tuju portfolio penjanaan TNB.
Selain landskap penjanaan kuasa, TA Research menekankan, pengembangan kapasiti berasaskan gas akan memberi kesan limpahan positif kepada sektor infrastruktur gas negara.
Kebergantungan yang lebih tinggi kepada gas sebagai sumber beban asas dijangka meningkatkan permintaan gas asli dan seterusnya memerlukan pelaburan tambahan dalam terminal regasifikasi serta rangkaian saluran paip di Semenanjung Malaysia.
Menurut TA Research, Petronas Gas mengunjurkan permintaan gas domestik meningkat antara 30% hingga 70% dalam tempoh sedekad akan datang, didorong oleh persaraan kira-kira 7GW kapasiti penjanaan berasaskan arang batu antara 2029 hingga 2033, selain peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data dan sektor intensif tenaga.
Dalam jangka panjang, TA Research menjelaskan, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) mengunjurkan kapasiti penjanaan berasaskan gas meningkat lebih dua kali ganda kepada 28GW menjelang 2050, berbanding asas tahun 2020.
Dengan andaian loji gas mengambil peranan lebih besar sebagai beban asas, penggunaan gas asli dianggarkan boleh melebihi 3,000 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) menjelang pertengahan abad ini, berbanding sekitar 1,000 mmscfd pada 2020.
“Memandangkan dua terminal regasifikasi sedia ada di Sungai Udang dan Pengerang telah ditempah sepenuhnya, tender penjanaan kuasa gas — dengan TNB sebagai penerima manfaat utama yang berpotensi — boleh mempercepat fasa seterusnya pelaburan dalam infrastruktur gas negara,” kata TA Research. - DagangNews.com








