KUALA LUMPUR 3 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunaikan kewajibannya dengan mengagihkan zakat berjumlah RM33 juta bagi tahun 2024 kepada golongan yang memerlukan sebagai usaha kumpulan menyokong kesejahteraan sosial dan pembangunan negara.
TNB menyalurkan zakat menerusi dua kaedah utama iaitu Zakat Perniagaan dan Zakat Wakalah.
Zakat Perniagaan adalah zakat yang diberikan oleh TNB kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Pengagihan dilakukan berdasarkan komposisi 70% untuk golongan fakir miskin dan 30% untuk golongan fisabilillah.
Sementara itu Zakat Wakalah adalah zakat yang diterima semula oleh TNB daripada Majlis Agama Islam Negeri dan diagihkan terus kepada penerima manfaat yang telah dikenal pasti melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Baiti Jannati iaitu membantu keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
Ia juga dilaksanakan menerusi program Ceria Ke Sekolah dengan menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis kepada pelajar daripada keluarga asnaf serta bantuan keperluan asas dan pembangunan komuniti kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid menegaskan bahawa sumbangan zakat merupakan tanggungjawab syariah yang mencerminkan komitmen kumpulan terhadap kesejahteraan rakyat.
"Sumbangan zakat adalah kewajipan syariah dan tanggungjawab yang kami tunaikan dengan penuh keprihatinan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi kejayaan dengan masyarakat dan memastikan bantuan ini memberi manfaat menyeluruh kepada golongan asnaf," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain menunaikan kewajipan zakat, TNB juga memberikan sumbangan melalui inisiatif anggungjawab sosial korporat (CSR) merentasi teras pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar,
dengan perbelanjaan RM140.9 juta pada 2024.
Bagi teras pendidikan, Yayasan Tenaga Nasional menaja 1,582 pelajar dengan pelaburan RM42.6 juta. Program Baiti Jannati pula telah membina dan membaik pulih 817 rumah sejak 2018, memberikan manfaat kepada lebih 4,000 individu.
TNB turut menyumbang dalam program lain seperti Projek Mesra Rakyat dan Better Brighter Shelter, dalam usaha menyokong inisiatif pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Dalam sukan, hampir RM6 juta disalurkan untuk menaja Konfederasi Hoki Malaysia, selain peruntukan yang disediakan untuk membangunkan TNB Thunderbolts serta melaksanakan Klinik Hoki bagi mencungkil bakat baharu.

Sementara itu, dalam aspek kelestarian, pada Februari 2025, TNB telah memasang sistem panel solar 25 kWp di sebuah sekolah agama negeri untuk mengurangkan kos tenaga dan menyokong masa depan yang lebih bersih, selaras dengan aspirasi negara untuk tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan dalam pendidikan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan menegaskan, TNB amat komited dalam memastikan setiap program pembangunan komuniti syarikat memberi impak nyata kepada masyarakat.
"Di TNB, kami percaya peranan kupulan melangkaui penyediaan bekalan elektrik. Sumbangan zakat merupakan satu kewajipan yang dilaksanakan syarikat bagi membantu kumpulan komuniti yang memerlukan.
"TNB juga menunaikan tanggungjawab sosialnya melalui pelbagai inisiatif CSR, termasuk memperkasa komuniti, membangunkan bakat dan menyokong pertumbuhan yang mampan. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk semua," katanya.- DagangNews.com








