TMC Life Sciences dijangka rugi pada 2QFY25, nasihat pemegang saham berhati-hati berdagang saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMC Life Sciences dijangka rugi pada 2QFY25, nasihat pemegang saham berhati-hati berdagang saham

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Jan - TMC Life Sciences Bhd mendedahkan, kumpulan dijangka mencatatkan kerugian bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25), berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2023.

 

Syarikat menyatakan, kerugian yang dijangka disebabkan oleh pembatalan dan pemberian diskaun pada kontrak dengan pelanggan.

 

Berikutan itu, TMC Life Sciences menasihatkan pemegang saham dan pelabur berpotensi untuk berhati-hati ketika membuat dagangan saham syarikat itu.

 

"Kumpulan kini sedang memuktamadkan keputusan kewangan tidak diaudit untuk tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan akan memberikan butiran lanjut mengenai prestasinya apabila keputusan kewangan tersebut dikeluarkan kepada Bursa Malaysia Securities pada Februari 2025," menurut kenyataan panduan keuntungan yang difailkan dengan Bursa Malaysia, berikutan kajian awal terhadap keputusan tidak diaudit untuk 2QFY2025.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY2025), TMC Life melaporkan penurunan 80.6% dalam keuntungan bersih berbanding 2023 (y-o-y) kepada RM2.94 juta, manakala hasil jualan merosot 11.3% y-o-y kepada RM81.97 juta.

 

Sementara itu, syarikat tersebut terlibat dalam pertikaian dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob, yang dipecat pada Disember 2024 berikutan tuduhan salah laku. 

 

Pemecatannya dikaitkan dengan penamatan perjanjian oleh syarikat insurans dan komplikasi yang timbul daripada perjanjian kerja teknologi maklumat dan komunikasi.

 

Wan Nadiah berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut. - DagangNews.com