KUALA LUMPUR 19 Mac – Langkah agresif IOI Properties Group Berhad melupuskan aset tanah berjumlah kira-kira RM1.1 bilion dalam tempoh singkat mencetuskan perdebatan dalam kalangan penganalisis.
Mereka turut mempersoalkan mengenai sama ada strategi penjualan tersebut benar-benar mampu memacu penilaian semula saham atau sekadar memperkukuh aliran tunai jangka pendek kumpulan berkenaan.
Terbaharu, ia melupuskan tanah komersial seluas 1.5 hektar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur kepada Paramount Corporation Berhad berharga RM257.9 juta, dan dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan.
MBSB Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap IOI Properties dengan harga sasaran (TP) disemak kepada RM3.35 daripada RM3.17, mengambil kira jangkaan pengurangan tahap keberhutangan.
"Pelupusan tanah aktif oleh kumpulan itu bertujuan menurunkan nisbah gear bersih yang sebelum ini berada pada paras tinggi sekitar 0.9 kali kepada kira-kira 0.85 kali," katanya dalam nota.
Firma penyelidikan itu melihat tanah pegangan bebas di Jalan Ampang itu sebagai aset bukan teras memandangkan ia tidak aktif memajukan projek mewah bertingkat tinggi di pusat bandar Kuala Lumpur.
Sehubungan itu kata MBSB Research, pelupusan ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan FY26, dengan anggaran peningkatan keuntungan bersih sekitar 17% berdasarkan margin kasar 60%.
Bagaimanapun, ia berpandangan penilaian semasa saham IOI Properties agak tinggi, didagangkan pada nisbah harga kepada buku (P/B) kira-kira 0.76 kali, yang melebihi purata sejarah sembilan tahun.

"Walaupun potensi penyenaraian REIT syarikat itu menjelang 2026 dilihat sebagai pemangkin, kami memilih untuk kekal lebih berhati-hati terhadap prospek penilaian kumpulan berkenaan," katanya.
TA Securities sebaliknya pula mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP sesaham RM4.00, dan melihat pelupusan tanah berkenaan sebagai langkah strategik yang mempercepatkan penciptaan nilai baharu.
Menurutnya, tiga transaksi dalam tempoh enam minggu berjaya membuka nilai RM1.1 bilion hasil kasar, yang meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Meskipun harga jualan sekitar RM1,600 kaki persegi lebih rendah berbanding penanda aras kawasan Embassy Row, ia masih bersifat 'value-accretive' memandangkan tanah tersebut bukan aset teras.
"Sehubungan itu, kami menganggarkan pelupusan di Jalan Ampang sahaja mampu menjana untung bersih RM117.6 juta, menyumbang peningkatan kira-kira 15.5% kepada pendapatan FY26," kata TA Securities.
Selain itu tambah firma penyelidikan tersebut, pelupusan aset di Banting dan Senai pula dijangka meningkatkan unjuran keuntungan FY27 sehingga 41.9%, serta mengukuhkan pertumbuhan kumpulan.
Ia menekankan strategi kitar semula modal yang proaktif akan meningkatkan kecekapan penggunaan modal, di samping potensi penyenaraian REIT menjelang akhir 2026 sebagai pemangkin penilaian.
Secara keseluruhan, firma tersebut bersetuju dengan usaha pelupusan tanah yang diramal mampu memberi impak positif kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan IOI Properties sendiri.
"Kami namun berbeza pandangan dari sudut tahap penilaian dan potensi kenaikan harga saham dalam jangka sederhana ke atas kumpulan hartanah berkenaan," jelasnya. - DagangNews.com








