KUALA LUMPUR 27 Feb - Time Dotcom Bhd dijangka catat hasil lebih tinggi dan margin yang lebih baik secara beransur-ansur pada tahun kewangan 2025 (FY25) sehingga FY27, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran FY25 Time sebanyak 3% dan menurunkan anggaran FY26 sebanyak 1% selepas mengandaikan pendapatan teras sesaham (EPS) syarikat FY24 sejajar dengan jangkaannya.
"Selepas semakan, kami menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun EPS FY25 sehingga FY27 sebanyak 8%, diterajui oleh hasil yang lebih tinggi dan margin pendapatan yang meningkat secara beransur-ansur," katanya dalam satu nota.
Firma itu mengandaikan nisbah pembayaran dividen 100% antara 25 dan 30 sen bagi FY25 hingga FY27.
"Berdasarkan ini, kami menganggarkan Time masih mempunyai tunai bersih sebanyak RM651 juta (35 sen sesaham) menjelang akhir FY27," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada saham Time dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah iaitu RM5.30.
Dalam nota penyelidikan berasingan, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, pembayaran dividen Time boleh kekal tinggi berikutan dividen syarikat sebanyak 56.8 sen bagi FY24.
"Dengan pertumbuhan pendapatan yang meruncing, kami berpendpat kekurangan pemangkin penarafan semula dalam tempoh terdekat. Namun begitu, pembayaran dividen boleh kekal tinggi.
Maybank IB menurunkan unjuran pendapatan Time sebanyak 3% bagi FY25 dan FY26 dan mengekalkan saranan 'tahan' dengan TP tidak berubah sebanyak RM5.10 sesaham.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) mengubah unjuran pendapatannya terhadap Time, masing-masing lebih tinggi sebanyak 1.5% dan 2% bagi FY25 dan FY26.
Firma tersebut berkata, pendapatan teras syarikat sebanyak RM496 juta untuk FY24 melebihi jangkaannya, ia memenuhi 107% daripada HLIB dan 109% anggaran setahun penuh konsensus.
Katanya, peningkatan pendapatan Time dibantu oleh disebabkan caj cukai yang lebih rendah daripada jangkaan.
Sementara itu, HLIB Research mengekalkan saranan 'tahan' pada saham Time dengan TP yang lebih tinggi sebanyak RM4.98. - DagangNews.com








