KUALA LUMPUR 25 Mac - Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) mengumumkan lantikan tiga ahli baharu ke Lembaga Pengarah MARC Berhad, serta dua ahli baharu ke Lembaga Pengarah MARC Ratings Berhad.
Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MARC Berhad.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor perbankan domestik dan antarabangsa, dengan kepakaran dalam menguruskan institusi kewangan berskala besar, memberi tumpuan kepada penjanaan hasil pasaran global, pengurusan aset dan liabiliti, pengurusan risiko, serta strategi produk.
Lim Hun Soon @ David Lim pula dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MARC Berhad.
Sebagai akauntan bertauliah dan pakar tadbir urus korporat yang berpengalaman, beliau membawa lebih tiga dekad kepimpinan dalam audit kewangan, etika dan peranan penasihat strategik.
Beliau mempunyai kepakaran mendalam dalam audit, pematuhan dan proses lembaga pengarah, hasil daripada kerjaya yang luas di KPMG.
Sementara itu, Mohammad Ridzuan Abdul Aziz dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MARC Berhad.
Beliau mempunyai latar belakang yang pelbagai dalam sektor perkhidmatan kewangan dan industri teknologi kewangan, termasuk peranan dengan pengawal selia pasaran seperti Bursa Saham Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Kepakarannya merangkumi keperluan peraturan kewangan serantau dan pengurusan risiko pematuhan.
Dalam pada itu, Dr Mohd Nordin Mohd Zain dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MARC Ratings Berhad.
Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam perbankan korporat, pendidikan, peraturan dan amalan profesional, beliau mempunyai kepakaran dalam audit dalaman, pelaporan kewangan dan pengurusan risiko.
Mohd Nordin kini berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa pelaburan anak syarikat AIA Berhad dan baru-baru ini dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Amita Shyam Shrivastava dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif MARC Ratings Berhad.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam penarafan kredit, penyelidikan pendapatan tetap, perbankan komersial dan kewangan pengguna.
Sebagai Naib Presiden Pasukan Pengurusan Serantau Asia Pasifik di Moody’s Investors Service (MIS), beliau membangunkan dan melaksanakan inisiatif strategik untuk perniagaan MIS, dengan tumpuan kepada Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Pengerusi MARC, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani N.Hassan Thani berkata, MARC mengalu-alukan perspektif berbeza dan pengetahuan luas yang akan dibawa oleh setiap Pengarah baharu kepada syarikat.
"Sumbangan mereka akan memastikan MARC terus maju sambil mengekalkan standard tertinggi dalam tadbir urus korporat," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








