Tiga bekas pekerja TM didakwa di Amerika Syarikat seleweng hampir RM80 juta dana syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga bekas pekerja TM didakwa di Amerika Syarikat seleweng hampir RM80 juta dana syarikat

Bangunan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat di Washington DC. - Gambar AFP/Stefani Reynolds

KUALA LUMPUR 20 Mei - Tiga bekas pekerja Telekom Malaysia Bhd (TM) didakwa di Amerika Syarikat atas pertuduhan penyelewengan melibatkan hampir RM80 juta dana syarikat menerusi skim penipuan dan pemalsuan rekod korporat.

 

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkata, Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen yang sebelum ini berkhidmat di anak syarikat milik penuh TM di negara itu didakwa atas konspirasi dan penipuan dalam talian serta mencuri identiti.

 

Menurut jabatan itu, ketiga-tiga individu terbabit didakwa menggunakan kenyataan palsu, rekod dipalsukan, transaksi rekaan serta penyamaran korporat dan individu bagi memperdaya pihak lawan urus niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia.

 

 

 

 

 

 

“Kes ini melibatkan skim penyelewengan lebih AS$20 juta dana syarikat menerusi empat penipuan yang saling berkaitan,” katanya jabatan itu dalam satu kenyataan.

 

Jabatan Kehakiman AS berkata, penipuan tersebut terbongkar susulan siasatan dalaman yang dijalankan TM terhadap operasi anak syarikatnya di Amerika Syarikat serta ketiga-tiga individu berkenaan.

 

Menurutnya, TM turut melaporkan sendiri perkara itu kepada Pejabat Peguam Amerika Syarikat.

 

“TM tidak akan didakwa berikutan kerjasama penuh yang diberikan syarikat termasuk pembayaran semula dan langkah pemulihan yang diambil,” katanya.

 

Mohd Hafiz ditahan pada 20 April 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, manakala Nguyen dan Mohd Yuzaimi menyerah diri kepada pihak berkuasa masing-masing pada 22 dan 23 April lalu.

 

Penolong Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James C Barnacle Jr berkata, ketiga-tiga individu terbabit didakwa menjalankan skim penggelapan wang yang disengajakan dan dirancang dengan teliti demi kepentingan kewangan sendiri.

 

Jika disabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara bagi setiap pertuduhan konspirasi dan penipuan dalam talian.

 

 

 

 

 

 

Pertuduhan kecurian identiti berat pula membawa hukuman mandatori tambahan dua tahun penjara.

 

Dalam kenyataan berasingan, TM berkata syarikat itu akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman AS sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

 

“TM menegakkan piawaian tadbir urus dan pematuhan yang ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku,” katanya. - DagangNews.com