KUALA LUMPUR 3 April – Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Mapsu (Mapsu) menggesa kerajaan supaya mengekalkan kuota subsidi petrol 300 liter kepada petugas kesihatan awam.
Presiden MPSU, Ajulahin Japin berkata keputusan kerajaan untuk mengurangkan kuota subsidi petrol daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan hanya akan membebankan golongan itu terutama yang tinggal jauh dari tempat kerja.
Tambahnya, keputusan kerajaan itu juga memberi tekanan tambahan kepada petugas kesihatan yang tidak mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah seperti sektor perkhidmatan awam yang lain.
"Petugas kesihatan tergolong dalam sektor kritikal yang sentiasa perlu hadir secara fizikal, walaupun dalam situasi mencabar seperti pandemik atau krisis kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, kebanyakan petugas kesihatan terpaksa mengharungi perjalanan jauh setiap hari dan penggunaan petrol bulanan bagi kumpulan ini biasanya melebihi 300 liter.
“Ini bukan isu gaya hidup, tetapi keperluan yang tidak dapat dielakkan oleh tugas mereka.
“Pengurangan kuota kepada 200 liter seharusnya mengambil kira realiti operasi sektor kesihatan agar tidak menambah beban kepada petugas.
“Oleh itu, kami berharap agar kerajaan menilai semula polisi ini agar lebih sensitif terhadap keperluan sebenar petugas kesihatan,” katanya.
Tegasnya, kebajikan petugas kesihatan tidak seharusnya diketepikan dalam pelaksanaan polisi subsidi dan Mapsu mencadangkan pendekatan secara lebih bersasar dibuat untuk sektor yang tidak boleh melaksanakan kerja dari rumah, khususnya bagi petugas kesihatan yang mempunyai keperluan mobiliti tinggi.
“Kesejahteraan petugas kesihatan berkait langsung dengan keberkesanan sistem kesihatan negara, dan polisi yang tidak mengambil kira realiti ini berisiko menjejaskan motivasi dan kesejahteraan mereka,” katanya. - DagangNews.com








