KUALA LUMPUR 25 Mac - Globaltec Formation Bhd menegaskan tiada sebarang maklumat material yang belum didedahkan bagi menjelaskan lonjakan ketara harga saham dan volum dagangan anak syarikatnya, NuEnergy Gas Ltd, yang tersenarai di Australia.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata NuEnergy telah menjawab pertanyaan daripada Australian Securities Exchange (ASX) dengan mengesahkan pematuhan penuh terhadap keperluan pendedahan, termasuk kewajipan pendedahan berterusan.
“NuEnergy mengesahkan tiada maklumat material yang disembunyikan daripada pasaran dan semua keperluan penyenaraian telah dipatuhi,” katanya.
Saham NuEnergy sebelum ini menjadi tumpuan selepas melonjak lebih dua kali ganda daripada A$0.039 pada 24 Mac kepada paras tertinggi intrahari A$0.087 pada 25 Mac, disertai peningkatan mendadak dalam aktiviti dagangan.
Lonjakan itu mendorong ASX mengemukakan pertanyaan rasmi bagi mendapatkan penjelasan mengenai pergerakan luar biasa saham berkenaan.
Dalam maklum balasnya, NuEnergy memaklumkan bahawa ulasan positif daripada penganalisis bebas yang disiarkan dalam media Australia berkemungkinan menjadi antara faktor yang menarik minat pelabur.
Selain itu, syarikat turut melihat minat lebih meluas terhadap saham tenaga berikutan konflik berterusan di Timur Tengah yang memberi kesan kepada harga tenaga global.
NuEnergy turut mengesahkan bahawa jawapan kepada pertanyaan ASX itu telah diluluskan oleh lembaga pengarahnya. - DagangNews.com








