Tiada hasrat jual QSR Brand sama ada dirancang atau sedang dilaksanakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada hasrat jual QSR Brand sama ada dirancang atau sedang dilaksanakan

KUALA LUMPUR 3 April - Tiada sebarang penjualan sedang dirancang atau sedang dilaksanakan, kata pengendali restoran makanan segera KFC, QSR Brands (M) Holdings Bhd selepas kumpulan itu mencatatkan pemulihan menggalakkan pada suku pertama 2025.

 

QSR berkata, selepas mengatasi cabaran disebabkan penutupan cawangan kesan daripada Covid-19, inflasi harga komoditi, peningkatan kos, kumpulan kini berada pada kedudukan yang baik untuk menguruskan sentimen di terkini di Asia Barat.

 

"Kami kini memiliki panduan untuk mendepani pasang surut yang mencetuskan pergolakan dan semuanya mengenai pelaksanaan strategi bagi memastikan pemulihan.

 

 

"Tanda-tanda pemulihan menggalakkan sudah ada, syarikat sudah mencapai pertumbuhan pendapatan sebanyak 25% pada suku pertama 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kenyataan syarikat itu adalah sebagai reaksi terhadap laporan mengatakan Johor Corp Bhd (JCorp) sedang berusaha untuk keluar dari QSR Brands selepas KFC mencatatkan keputusan tidak memberangsangkan disebabkan perang berterusan di Asia Barat.

 

QSR Brands dimiliki oleh Massive Equity, dengan JCorp memegang 66.63%, dan Melati Asia Holdings Ltd memegang 44.01%. Melati Asia dimiliki bersama oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (51%) dan firma ekuiti swasta CVC Capital Partners Ltd (49%).

 

Terdahulu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, QSR Brands menunjukkan daya tahan dan ketangkasan yang luar biasa, walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

 

"Mereka bukan sahaja mengharungi badai tetapi berkembang maju dengan membuat semula model perniagaan mereka dan meningkatkan sentimen pasaran melalui kempen pemasaran strategik, inovasi menu untuk menyasarkan pelanggan yang pelbagai, dan mengukuhkan perkongsian dan kerjasama untuk mengembangkan pangkalan pelanggan.

 

“Kejayaan ini dimantapkan lagi dengan keputusan strategik mereka untuk menjalin perkongsian strategik jangka panjang dengan Hy-Fresh, membolehkan QSR Brands menyelaraskan operasi dan menumpukan pada kekuatan terasnya,” kata Syed Mohamed, merujuk kepada perkongsian QSR Brands dengan pembekal ayam itik Hy-Fresh Holdings Sdn Bhd untuk mengukuhkan perniagaan ternakan ayam yang diumumkan pada Februari 2025.

 

QSR Brands juga berkata, kumpulan itu telah menjana nilai RM250 juta untuk FY24 melalui inisiatif transformasi, tetapi tidak menjelaskan nilai yang dirujuk.

 

Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim berkata, keupayaan QSR Brands menyampaikan nilai yang konsisten, walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar, adalah bukti kepimpinan yang kukuh dan pelaksanaannya yang berdisiplin.

 

"Inisiatif transformasi yang dilakukan bukan sahaja telah mengukuhkan kecekapan operasinya tetapi juga meningkatkan cadangan nilainya kepada pelanggan, dan memupuk semangat dan produktiviti kakitangan. Hasilnya, kami telah melihat trajektori pertumbuhan yang kukuh dalam hasil," katanya. - DagangNews.com