Tiada cadangan wajibkan pencarum Islam pindah caruman ke akaun syariah KWSP - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada cadangan wajibkan pencarum Islam pindah caruman ke akaun syariah KWSP - PM Anwar

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kerajaan tidak bercadang mewajibkan semua pencarum beragama Islam memindahkan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mereka kepada simpanan patuh syariah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, kerajaan menggalakkan mereka untuk berbuat demikian menerusi beberapa siri galakan dan penerangan berhubung instrumen kewangan syariah, yang diharap mampu meningkatkan jumlah pencarum Islam dalam simpanan berkenaan.

 

Katanya, kesan daripada agihan kadar dividen yang sama bagi simpanan konvensional dan syariah KWSP juga akan memberi galakan kepada umat Islam untuk memindahkan caruman masing-masing kepada simpanan syariah.

 

Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa langkah baharu untuk menarik perhatian umat Islam memilih caruman patuh syariah perlu diambil, termasuk oleh KWSP.

 

Sebab ini kita tak bercadang mewajibkan (pencarum Islam memindahkan caruman kepada simpanan syariah) tetapi dengan bukti ini (kadar dividen tinggi) dan beberapa siri galakan serta penerangan, kita harap jumlahnya akan bertambah.

 

"Bagi saya kesan ini penting, kerana rekod ini dengan sendirinyaakan beri galakan kepada umat Islam untuk berpindah kepada simpanan syariah.

 

"Tiada dasar untuk mewajibkan (pencarum beragama Islam memilih simpanan patuh syariah), tetapi menggalakkan (mereka berbuat demikian).

 

"Umat Islam perlu diberikan penjelasan mengenai erti dan perbezaan perbankan tanpa faedah dan beberapa instrumen syariah diperkenalkan dalam instrumen kewangan kerana Malaysia mutakhir ini dianggap paling ke hadapan," katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan memberi kelonggaran secara berlebihan kepada mana-mana pencarum KWSP untuk mengeluarkan simpanan masing-masing secara bersasar.

 

Beliau berkata, ini kerana keadaan itu bertentangan tujuan caruman KWSP yang diperuntukkan kepada pekerja untuk menjalani tempoh persaraan mereka kelak.

 

Kerajaan juga, katanya perlu mewujudkan keseimbangan antara menyelesaikan masalah mendesak segera serta penyediaan simpanan kewangan bagi pekerja terbabit apabila mereka menjalani tempoh persaraan.

 

"Prinsip yang kita pegang sejak puluhan tahun lalu, ialah tiada kelonggaran berlebihan kerana prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua.

 

"Banyak kes rayuan khusus diberikan pertimbangan khas, terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya.

 

"Namun, membuka ruang terlalu luas, bermakna kita akan menghukum mereka apabila beransur tua dan bersara," katanya. - DagangNews.com