KUALA LUMPUR 28 Feb - Tex Cycle Technology (M) Bhd membeli kesemua saham dalam Meridian World Sdn Bhd dengan nilai RM55 juta, satu pemerolehan strategik bagi Tex Cycle yang akan meningkatkan keupayaannya dalam pengurusan sisa terjadual dan pemprosesan kimia.
Ditubuhkan pada tahun 1995, Meridian World merupakan pemain berpengalaman dalam industri pengurusan sisa terjadual, menawarkan rumusan menyeluruh merangkumi pengumpulan sisa, pengangkutan, pemulihan dan rawatan serta pengurusan air sisa.
Syarikat itu memiliki lesen daripada Jabatan Alam Sekitar untuk merawat 22 kod sisa terjadual, sisa elektronik, bahan kimia, asid dan alkali, sisa pemangkin, minyak hidraulik dan pelincir, kain buruk dan bekas tercemar, getah dan lateks, dakwat serta lumpur.
Beroperasi dari kemudahan pemulihan sisa terjadualnya di Kedah, Meridian World menyokong pelbagai industri termasuk sektor semikonduktor, kimia dan pembuatan.
Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan itu, penjual Meridian World telah memberikan jaminan keuntungan bersih terkumpul yang diaudit sebanyak tidak kurang daripada RM12 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 2025, dengan syarat keuntungan bersih yang diaudit tidak kurang daripada RM5.3 juta untuk tahun kewangan 2024.
Sekiranya keuntungan minimum untuk tahun kewangan 2024 tidak dicapai, tempoh jaminan keuntungan akan dipinda kepada tahun kewangan 2025 dan 2026.
Tex Cycle berkata, jaminan keuntungan tersebut meningkatkan ketelusan pendapatan Tex Cycle dan menguatkan keyakinan terhadap kelayakan kewangan pengambilalihan.
"Kerjasama antara kedua-dua syarikat ini akan meningkatkan lagi kecekapan operasi serta memberikan kelebihan daya saing kepada syarikat dalam sektor pengurusan alam sekitar di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass A/L Anthony Francis berkata, pengambilalihan berkenaan menandakan langkah peralihan untuk syarikatnya.
"Rekod cemerlang Meridian World dalam pengurusan sisa terjadual, terutamanya dalam pemprosesan kimia, kejuruteraan alam sekitar dan kod sisa khususnya sisa elektronik, selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kami," ujarnya.
Pengarah Urusan Meridian World, Teoh Kok Cheow pula berkata, kerjasama tersebut mewakili satu bab baharu yang menarik bagi syarikatnya.
"Kerjasama ini membuka peluang kepada kemajuan teknologi yang lebih besar dan segi operasi, membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan sedia ada, dengan memanfaatkan status Tex Cycle sebagai entiti tersenarai." jelasnya. - DagangNews.com








