Tempahan sarung tangan Top Glove mungkin menurun pada 3QFY25 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tempahan sarung tangan Top Glove mungkin menurun pada 3QFY25 - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Tempahan sarung tangan Top Glove Corp Bhd berkemungkinan menurun pada 3QFY25 selepas pembeli dari Amerika Syarikat (AS) bertindak menambah stok sebelum pengumuman kenaikan tarif ke atas sarung tangan China.

 

Kesannya, pembuat sarung tangan itu mungkin melihat purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah untuk produknya pada 3QFY25, kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu mengaitkan perkara itu dengan aktiviti pembelian awal oleh pelanggan AS sebelum pelaksaan tarif yang lebih tinggi ke atas pembuat sarung tangan China berkuat kuasa 1 Januari 2025.

 

"Kami percaya, Top Glove menghadapi persaingan yang lebih kuat bagi pasaran bukan AS, dengan pembuat sarung tangan China mengalihkan tumpuan ke arah jualan ke pasaran bukan AS selepas pelaksanaan tarif yang lebih tinggi," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Pada 2QFY25, pembuat sarung tangan mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM27.8 juta, menjana keuntungan bersih teras 1HFY25 sebanyak RM28.4 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Ini disebabkan dinamik bekalan permintaan yang lebih kondusif untuk sarung tangan, yang membawa kepada peningkatan dalam kedua-dua harga dan jumlah jualan.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities menjangkakan peningkatan dalam persekitaran operasi dari 4QFY25 dan seterusnya dengan pembelian hadapan oleh pelanggan yang berpangkalan di AS dijangka digunakan sepenuhnya menjelang Jun tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak 95 sen.

 

Kebanyakan penganalisis masih berhati-hati, mempunyai penarafan "pegang" dan "jual".

 

AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak 68 sen berkata, penilaian semasa pembuat sarung tangan itu telah bergerak mendahului asas.

 

Katanya, walaupun syarikat itu mencatatkan pemulihan, ia berada di bawah jangkaan.

 

Walaupun jumlah jualan dijangka dirangsang peningkatan jumlah dalam pasaran AS, pasaran bukan AS dijangka mengalami persaingan yang lebih sengit kerana pengeluar sarung tangan China membanjiri pasaran Eropah dengan harga yang sangat kompetitif.

 

"Pengurusan mengekalkan sasaran volum jualan sebanyak 43 bilion keping untuk FY25. Jumlah untuk 1HFY25 adalah sekitar 19 bilion keping, yang bersamaan dengan 45% daripada sasaran tahun penuhnya," katanya. - DagangNews.com