Telekom Malaysia: Dividen lebih tinggi, hasil lebih konsisten tarik minat pelabur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Telekom Malaysia: Dividen lebih tinggi, hasil lebih konsisten tarik minat pelabur

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Apr - Langkah Telekom Malaysia Berhad (TM) menaikkan kadar pembayaran dividen minimum kepada 75% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATAMI), selain melaksanakan pembayaran secara suku tahunan bermula tahun kewangan 2026, dilihat sebagai pemangkin utama yang meningkatkan minat pelabur terhadap saham syarikat telekomunikasi itu.

 

CGS International dan RHB Investment Bank Berhad berpandangan perubahan dasar dividen tersebut bukan sahaja menjadikan aliran pulangan kepada pemegang saham lebih konsisten, malah turut memperkukuh profil pendapatan dividen serta menyokong penilaian semula saham TM dalam pasaran.

 

CGS International mengekalkan saranan Tambah dengan harga sasaran lebih tinggi RM9.50 berbanding RM8.80 sebelum ini, manakala RHB mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM9.30.

 

Menurut CGS, walaupun jangkaan peningkatan kadar pembayaran telah diambil kira sebelum ini, peralihan kepada pembayaran dividen suku tahunan memberi kesan lebih bermakna terhadap kecekapan struktur modal syarikat, sekali gus menyokong peningkatan pulangan ekuiti (ROE).

 

Firma itu menaikkan unjuran ROE TM bagi tahun kewangan 2028 kepada 21.7%, berbanding anggaran sebelumnya 20.5%, disokong oleh struktur kewangan yang lebih efisien serta aliran dividen yang lebih stabil.

 

Hasil dividen lebih konsisten tarik minat pelabur

Perubahan kepada pembayaran dividen secara suku tahunan dijangka menjadikan saham TM lebih menarik kepada pelabur yang mengutamakan pendapatan berkala dan stabil, khususnya dalam persekitaran pasaran yang lebih berhati-hati.

 

CGS mengunjurkan hasil dividen TM meningkat kepada 6.7% pada FY27, berbanding 4.7% pada FY26, berdasarkan andaian kadar pembayaran sekitar 80%.

 

RHB pula menyifatkan dasar baharu ini sebagai langkah tepat pada masanya, disokong kedudukan kewangan TM yang kukuh dengan tahap hutang yang rendah serta keupayaan penjanaan aliran tunai yang stabil.

 

Menurutnya, pendekatan tersebut meletakkan TM setanding dengan syarikat telekomunikasi serantau lain yang menawarkan pembayaran dividen lebih tinggi serta lebih konsisten kepada pemegang saham.

 

Asas perniagaan kekal kukuh

RHB turut mengekalkan pandangan bahawa asas perniagaan TM kekal stabil merentasi segmen pengguna, borong dan perusahaan.

 

Segmen runcit dijangka mencatat pertumbuhan sederhana disokong perkhidmatan konvergen dan penawaran tambahan, manakala segmen borong terus berkembang didorong permintaan gentian, kapasiti kabel dasar laut serta sambungan pusat data.

 

Segmen perusahaan pula dijangka menunjukkan pemulihan lebih kukuh apabila tekanan harga semakin reda, selain mendapat manfaat daripada permintaan terhadap kolokasi dan beban kerja kecerdasan buatan (AI).

 

Penilaian masih menarik

Pada harga sekitar RM7.10, sasaran harga RM9.30 hingga RM9.50 oleh penganalisis mencerminkan potensi kenaikan yang masih menarik, dipacu oleh prospek pendapatan yang stabil serta dasar dividen yang lebih jelas dan mesra pelabur.

 

CGS turut melihat ruang tambahan untuk peningkatan kadar pembayaran dividen pada masa hadapan, disokong kedudukan kunci kira-kira TM yang masih konservatif berbanding pesaing industri.

 

Dengan gabungan hasil dividen yang lebih tinggi, aliran pendapatan lebih konsisten serta asas perniagaan yang kukuh, TM terus dilihat sebagai antara pilihan utama pelabur dalam sektor telekomunikasi tempatan. - DagangNews.com