KUALA LUMPUR 10 Jan - Putrajaya akan menjadi tumpuan ketua-ketua polis serantau dan Asia Pasifik yang hadir pada Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) pada 20 hingga 22 Januari ini.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, AISSE’25 menghimpunkan penguat kuasa undang-undang dan pembuat keputusan keselamatan awam, pegawai kerajaan, pakar teknikal dan profesional.
Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (Alpine Integrated) serta Koperasi PDRM Berhad.
AISSE’25 menyediakan platform unik untuk kolaborasi strategik, perkongsian ilmu serta perancangan masa depan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan pada peringkat Asia dan global.



Ia juga mengetengahkan pameran teknologi tinggi yang menunjukkan teknologi keselamatan canggih dan peralatan daripada syarikat terkemuka dalam industri.
Dalam dunia yang semakin global dan saling berkaitan, ancaman keselamatan negara perlu ditangani secara dua hala dan pelbagai hala.
Justeru, jenayah seperti keganasan, ekstremisme, pemerdagangan dan serangan siber merentasi sempadan negara memerlukan usaha bersama untuk mengatasinya.
Menerusi kenyataannya, Alpine Integrated memaklumkan, acara yang julung-julung kali diadakan itu selaras dengan komitmen KDN untuk membangun dan memelihara keamanan.


Edisi sulung ini bertemakan ‘Asia United: Charting The Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration’
“AISSE'25 bertujuan untuk memupuk kerjasama antarabangsa, merapatkan sempadan untuk dunia yang lebih selamat melalui perkongsian kecerdasan, inisiatif latihan bersama dan strategi untuk menangani jenayah transnasional.
“Sidang kemuncak ini menyatukan agensi penguatkuasaan undang-undang, pemimpin kerajaan dan pakar industri untuk memangkin tindakan demi dunia yang lebih selamat.
“Turut berlangsung serentak ialah Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber Malaysia yang disokong oleh Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.
Lebih 100 organisasi keselamatan, 1,000 peserta delegasi persidangan, 60 delegasi tetamu kenamaan (VIP) dan lebih 5,000 pelawat dari lebih 20 negara mengambil bahagian pada acara 3 hari ini.
Pelawat VIP yang dijangka hadir termasuk Menteri Dalam Negeri serta ketua polis dan pegawai berpangkat tinggi dari Asia Pasifik dan Timur Tengah termasuk serantau.
Antaranya China, India, Indonesia, Jepun, Laos, Filipina, Qatar, Singapura, Thailand, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam. - DagangNews.com








