KUALA LUMPUR 29 Jan - Kebimbangan MSCI Inc terhadap kebolehpelaburan saham Indonesia mengukuhkan lagi prospek aliran masuk bersih dana asing ke Bursa Malaysia pada 2026, menurut pemerhati pasaran.
Pengurus dana dan penganalisis melihat aliran keluar daripada pasaran saham Indonesia berpotensi memberi kesan limpahan positif kepada pasaran tempatan.
Indeks Komposit Jakarta merosot 7.4% — kejatuhan harian terbesar dalam tempoh lebih sembilan bulan — selepas penyedia indeks MSCI Inc membangkitkan isu asas kebolehpelaburan berkaitan free-float, iaitu jumlah saham yang tersedia untuk dagangan.
Susulan itu, MSCI bertindak menggantung serta-merta beberapa perubahan indeks, termasuk penambahan kaunter baharu, sehingga pengawal selia menangani kebimbangan berhubung struktur pemilikan syarikat tersenarai yang terlalu tertumpu.
Sekiranya isu ketelusan tidak ditangani, Indonesia berdepan risiko pengurangan wajaran dalam Indeks Pasaran Membangun MSCI atau berkemungkinan diturunkan taraf kepada status pasaran frontier. Senario ini boleh mencetuskan penjualan oleh dana yang menjejaki indeks tersebut.
Seiring jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat, pasaran ekuiti Malaysia berpotensi kembali mencatat aliran masuk bersih dana asing pada 2026, sekali gus menamatkan tempoh aliran keluar sebelum ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong kepada The Edge.
Malaysia merekodkan aliran keluar bersih dana asing yang besar berjumlah RM22.3 bilion pada 2025. Gabungan prestasi pasaran yang lemah tahun lalu, jangkaan pertumbuhan pendapatan serta penilaian yang berada di bawah paras sejarah mendorong penganalisis meramalkan kemasukan dana asing pada tahun ini.
Pelabur asing telah menjadi pembeli bersih selama tiga minggu berturut-turut. Aliran masuk bersih kumulatif dana asing mencecah RM1.47 bilion setakat 27 Jan 2026.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Malacca Securities, Loui Low menegaskan pengukuhan berterusan ringgit memberi isyarat semakin ramai pelabur asing berminat untuk memasuki pasaran. “Oleh itu, mereka mungkin sedang membuat penempatan awal untuk pertumbuhan selanjutnya,” katanya.
FBM KLCI pula memulakan tahun ini dengan prestasi memberangsangkan.
Indeks penanda aras itu meningkat lebih 4% dalam tempoh kurang sebulan — sudah pun mengatasi kenaikan 2.3% yang dicatatkan sepanjang 2025. Ia ditutup rendah 0.83% kepada 1,756.49 pada Rabu. - DagangNews.com








