KUALA LUMPUR 26 Feb - Tekanan margin dalam semua segmen perniagaan, kadar cukai yang lebih tinggi serta purata harga minyak Brent menjadi punca kepada kemerosotan kepada keuntungan bersih Petronas pada FY24, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, penyusutan itu juga disebabkan kadar tukar dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah sebanyak 4.4 berbanding 4.6 pada separuh kedua 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan margin merangkumi segmen huluan sebanyak 35% daripada untung bersih disebabkan harga direalisasi yang lebih rendah dan jumlah jualan minyak mentah yang lebih rendah.
Maybank IB berkata, segmen gas menysuut sebanyak 57% daripada untung bersih disebabkan margin produk yang lebih rendah manakala segmen hiliran mencatatkan kerugian sebanyak RM1.6 billion bebranding keuntungan RM4.6 bilion pada separuh kedua 2023 disebabkanharga direalisasi lebih rendah, cukai yang lebih tinggi serta margin penapisan dan petrokimia yang lebih rendah.
"Jumlah perbelanjaan modal 2024 berjumlah RM54.2 bilion dengan 13% diperuntukkan kepada rumusan tenaga bersih dan projek penyahkarbonan.
"Belanjawan domestik meningkat kepada RM33.1 bilion atau peningkatan 26% pada 2024, yang dicerminkan dalam prestasi pendapatan korporat sektor minyak dan gas (O&G) tempatan sepanjang tahun," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, Petronas mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 32% atau RM25.6 bilion kepada RM55.1 bilion pada FY24 berbanding RM80.7 bilion pada FY23.
Hasil untuk tempoh tersebut jatuh sebanyak 7% pada tahun atau RM23.6 bilion kepada RM320 bilion disebabkan kesan operasi yang dihentikan sebanyak RM23 bilion, manakala harga tenaga yang lebih rendah diimbangi jumlah jualan yang lebih tinggi
Firma penyelidikan itu masih berpandangan positif dalam sektor O&G, memihak kepada segmen pertengahan dan ruang penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO).
Katanya, andaian harga minyak mentah Brent dalaman tidak berubah pada AS$70 setong untuk 2025.
"Di peringkat global, tumpuan akan diberikan sama ada OPEC+ akan mula menghentikan pemotongan pengeluaran sebanyak 2.2mbpd secara berperingkat mulai April 2025," katanya.- DagangNews.com








