Tekanan inflasi naik dipacu oleh perbelanjaan isi rumah tinggi menjelang Ramadan, kata TA Securities  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan inflasi naik dipacu oleh perbelanjaan isi rumah tinggi menjelang Ramadan, kata TA Securities 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb - Inflasi Malaysia diyakini kekal terurus pada bulan-bulan akan datang, berkemungkinan kekal menghampiri purata jangka panjang sebanyak 2% tahun ke tahun (YoY). 

 

Bagaimanapun, TA Securities berkata, tekanan inflasi mungkin meningkat sedikit pada Februari 2025, didorong oleh potensi pemangkin dari segi permintaan apabila kita menghampiri bulan Ramadan pada Mac 2025.

 

"Peningkatan permintaan bermusim ini, ditambah pula dengan kemungkinan kekangan bekalan dalam barangan tertentu boleh memacu harga lebih tinggi buat sementara waktu.

 

"Kami menjangkakan peninkatan harga sementara ini adalah disebabkan perbelanjaan isi rumah seperti makanan, pakaian dan persiapan meningkat menjelang musim perayaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulunya, inflasi Malaysia kekal 1.7% pada Januari 2025, dengan mata indeks mencatatkan 133.6 berbanding 131.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


 

Walaubagaimanapun, DOSM berkata, inflasi perkhidmatan restoran dan penginapan menaik 3.5% dan inflasi sektor penjagaan diri meningkat 3.3%.  

 


"Segmen makanan dan minuman (F&B), yang menyumbang 29.8% daripada jumlah berat CPI, meningkat lebih perlahan sebanyak 2.5% pada Januari 2025.

 


"Ini disebabkan oleh subkumpulan utama makanan di rumah yang meningkat sebanyak 0.4% berbanding 0.9% pada Disember 2024," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia kekal 1.7% pada Januari 2025 - DOSM 


Memandang ke hadapan, Kementerian Kewangan (MOF) meramalkan inflasi  Malaysia tahun depan mungkin meningkat ke paras tertingginya dalam tempoh lapan tahun, dengan IHP diunjurkan meningkat antara 2% dan 3.5% YoY.

 

TA Securities berkata, selain daripada kenaikan gaji, kenaikan ini berkemungkinan akan didorong oleh pelarasan pertengahan tahun harga bahan api RON95.

 

"Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0% tahun ini, sejajar dengan prospek inflasi yang terurus dan keperluan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi domestik dalam keadaan ketidaktentuan global.


"Pelarasan hanya boleh dipertimbangkan jika tekanan inflasi daripada rasionalisasi subsidi atau kejutan luaran menjadi tidak terurus pada tahun 2025.


"Pandangan lanjut mengenai pendirian bank pusat akan diberikan semasa mesyuarat MPC seterusnya pada 6 Mac 2025 dan dalam laporan tahunan Bank Negara Malaysia, yang akan dikeluarkan pada akhir Mac," katanya.  - DagangNews.com